"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kadar kes Covid-19 di KL lebih tinggi daripada Selangor, mengapa tidak kena PKP?

ARIF ATAN

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempersoal kegagalan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mempunyai kadar insiden kes Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk lebih tinggi berbanding Selangor.

Beliau mengingatkan agar usaha memerangi penularan Covid-19 perlu mengambil kira sudut epidemiologi atau kajian tentang penyakit epidemik bukannya dipolitikkan seolah-olah kes pandemik boleh membawa maut itu paling kritikal di Selangor.

Menurutnya, kadar insiden kes pandemik itu di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk adalah sebanyak 116 tetapi Kelantan mencatatkan kadar kes tertinggi sebanyak 331 diikuti Sarawak 273, Kuala Lumpur 225 dan Selangor 159.

“Kuala Lumpur dalam (kadar kes Covid-19) 225 bebas daripada PKP tetapi Selangor dengan angka 159 dikenakan PKP. Tolonglah, jangan politikkan perkara ini. Nyawa dan kehidupan sangat terjejas,” katanya.

Beliau yang juga ketua Pasukan Petugas Menangani Covid-19 di Selangor (STFC) itu berkata demikian dalam sidang media membincangkan tajuk ‘Pandemik dan Vaksinasi, Perlukah Darurat?’, di Hotel Tamu di ibu negara hari ini.

Turut menjadi panel ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP, Kelvin Yii Lee Wuen dan Dr Mathen Nair dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abd Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berperanan sebagai moderator dalam program tersebut.

Mulai esok, enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang diletakkan di bawah PKP hingga 17 Mei.

Sementara itu, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berkuat kuasa Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semalam, Selangor mencatatkan jangkitan harian Covid-19 tertinggi iaitu 675 kes diikuti Sarawak (620 kes) dan Kuala Lumpur 408 kes.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan walaupun Selangor kerap dikesan mempunyai kes harian Covid-19 tertinggi seperti diumum Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi angka tersebut sebenarnya berkaitan dengan kepadatan penduduk.

“Tidak boleh ukur dari segi angka semata-mata. Kita perlu mencermati kes dari segi epidemiologi. Memang kes Covid-19 di Selangor nampak tinggi tapi terkait dengan kesesakan penduduk.

“Populasi Selangor saja mencecah 6.9 juta orang termasuk pekerja asing,” jelasnya sambil mengakui ‘sakit hati’ apabila mendengar pihak yang mendakwa Selangor paling tinggi kes Covid-19.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pendekatan berstrategi yang paling berkesan perlu dilakukan dalam memenangi perang melawan Covid-19.

“Sejak Julai 2020, STFC yang dibentuk oleh Menteri Besar sangat sedar hal ini. Saya dalam penerangan kepada birokrat dan teknokrat juga mengingatkan Selangor perlukan strategi untuk menang.

“Jangan harap untuk dapatkan kes sifar. Hanya pastikan fasiliti kesihatan dan barisan hadapan tidak terbeban. Kita perlu sentiasa imbangi antara nyawa dan kehidupan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: