"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Neelofa, suami buat hal lagi, rentas negeri beli karpet di Nilai 3?

FMT Reporters

Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail mencetuskan kontroversi terbaharu kerana dikatakan memuat naik video menunjukkan seolah-olah mereka merentas negeri ke Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Belum pun reda isu nilai kompaun dikenakan pihak berkuasa yang dikatakan terlalu rendah kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan larangan merentas negeri, pelakon dan pengacara terkenal Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail sekali lagi mencetuskan kontroversi terbaharu.

Kali ini Neelofa dan suaminya, yang lebih dikenali sebagai PU Riz didakwa memuat naik video menunjukkan seolah-olah mereka merentas negeri dengan berkunjung ke kedai permaidani yang terletak di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Video berdurasi 15 saat yang dikatakan dirakam oleh Neelofa sendiri itu memaparkan perbualannya dengan seorang lelaki dipercayai pemilik kedai permaidani di daerah terbabit.

Ramai pengguna di Twitter mendakwa melihat Neelofa dan suaminya berada di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Seorang pengguna dikenali sebagai @paedrazip menerusi kapysen berkata: “Hai hajah @Neelofa. Kat Nilai 3 ke tu, cari karpet ke? Eish…rentas negeri? Kuat btol cable?”

Namun hasil carian mendapati video itu sudah dipadamkan selebriti itu di Instastory akaun Instagram miliknya.

Bagaimanapun hantaran berkenaan masih “trending” hingga menjadi perdebatan hangat pengguna media sosial yang mempertikaikan bagaimana selebriti berusia 32 tahun itu merentas negeri ketika negara masih berada di bawah perintah sekatan perjalanan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini Neelofa pernah memohon maaf secara terbuka dan mengakui tidak sensitif isu semasa, khususnya berhubung dakwaan pelanggaran SOP pada majlis perkahwinannya serta kunjungannya ke Langkawi, Kedah bersama suami.

Berikutan itu Neelofa, suami dan keluarganya dikenakan kompaun yang keseluruhannya berjumlah RM60,000 kerana kesalahan melanggar SOP dan merentas negeri.

Neelofa dan PU Riz masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, Neelofa dikompaun RM20,000 (tiada diskaun) kerana melakukan dua kesalahan, manakala PU Riz dikompaun RM10,000 kerana melakukan satu kesalahan.

Kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.

Beliau juga dikompaun kerana melanggar kebenaran merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa kerana ada antara aktiviti dilakukannya berada di luar skop kebenaran yang diberikan.

Tiada ulasan: