"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan guna darurat untuk jual lapangan terbang subang, kata Salahuddin

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kerajaan diingatkan agar tidak mengambil kesempatan di atas pelaksanaan darurat untuk menjual konsesi lapangan terbang Subang yang masih lagi dimiliki oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penjualan berkenaan akan menyebabkan MAHB bakal kerugian sehingga RM11.9 bilion.

“jangan ambil kesempatan darurat untuk jual konsesi airport Subang yang masih dimiliki MAHB.

“(MAHB) bakal di’hijacked’ sehingga potensi kerugian RM11.9 bilion melalui Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tolak runding terus. Buka Parlimen. Kita debat. Ini harta rakyat dan negara,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Ciapannya itu susulan laporan bahawa ahli perniagaan dan juga hartawan hartanah, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon sedang merancang untuk mengambil alih lapangan terbang Subang.

Bagaimanapun memetik The Vibes, pihak berkepentingan utama yang berkaitan dengan kerajaan menentang tindakan itu, dengan menyatakan akan mengalami kerugian dianggarkan hingga RM11.9 bilion.

WCT Holdings Bhd yang memiliki Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB), mencadangkan untuk memasuki konsesi baru dengan mengoperasikan seluruh kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah hingga tahun 2092, menjadikannya sebagai lapangan terbang bandar, kata dokumen konsep itu.

Lapangan terbang Subang, kata syarikat itu, akan mensasarkan penumpang dari satu lokasi ke satu lokasi menggunakan pengangkutan ekspres, bersama dengan pembangunan harta tanah yang berkaitan.

Difahamkan, SSSB telah membuat kertas cadangan tersebut kepada kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan.

Lapor The Vibes, SSSB juga menganggarkan sejumlah RM3.7 bilion untuk pelaburan awal tanpa menggunakan dana kerajaan.

RM1.7 bilion akan dibuka untuk terminal penumpang dan terminal eksekutif pada tahun 2027, manakala RM2 bilion akan dibelanjakan dalam 10 tahun akan datang di bandar lapangan terbang.

Tetapi lapangan terbang itu kata SSSB, tidak akan bersaing dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana fokusnya adalah “pelancong perniagaan premium, memfokuskan kepada pasaran yang berbeza dari penumpang KLIA.

Tiada ulasan: