FMT Reporters
PETALING JAYA: Mana-mana persatuan veteran yang terlibat dalam aktiviti atau kegiatan politik sama ada secara langsung atau tidak langsung menyalahi Akta 740, menurut Kementerian Pertahanan.
Dalam kenyataan, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) memaklumkan tindakan sewajarnya sehingga pembatalan atau penggantungan pendaftaran persatuan terlibat boleh diambil oleh Pendaftar bawah Seksyen 18, Akta 740.
“JHEV ATM ingin menegaskan bahawa berdasarkan Jadual kepada Seksyen 14, Akta Veteran 2012 (Akta 740), sesebuah Persatuan Veteran yang berdaftar di bawah JHEV ATM hendaklah menjalankan aktiviti persatuannya tanpa diskriminasi tentang jantina, bangsa, agama, asal usul, bahasa, kecenderungan politik atau apa-apa pandangan lain yang dipegang oleh ahlinya,” katanya.
Pada 4 Mei lalu, veteran ATM menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menerusi platform parti politik sendiri, dengan menyasarkan sebanyak kira-kira 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden Persatuan Veteran ATM Sharuddin Omar berkata, pihaknya kini dalam usaha menubuhkan sebuah parti politik dinamakan Parti Kemakmuran Negara bagi tujuan itu.
Menurut Sharuddin, pihaknya mengambil pendirian untuk bertanding pada PRU15 kerana kelewatan kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan veteran terutamanya membabitkan gaji dan pencen serta isu lain yang membabitkan rakyat.
Dalam pada itu, JHEV ATM berkata, sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia dan menguruskan hal ehwal veteran ATM, ia berpandangan kenyataan tersebut adalah salah dan tidak menggambarkan realiti semasa.
Katanya, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha memperjuangkan nasib warga veteran ATM.
“Penubuhan JHEV ATM itu sendiri telah jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf jasa pengorbanan veteran ATM.
“Pada tahun 2020 dan 2021, pelbagai inisiatif dan bantuan telah diberikan kepada veteran ATM antaranya bantuan Khas Kewangan 2020 kepada 277,178 orang veteran ATM berpencen dan tidak berpencen yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 138,589,000.
“Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2020 dan 2021 turut dipanjangkan kepada veteran ATM tidak berpencen,” katanya.
JHEV ATM berkata, kenyataan Sharuddin bahawa kerajaan gagal dalam memperjuangkan nasib veteran ATM adalah tidak berasas.
Ia adalah pandangan kelompok veteran ATM yang mempunyai agenda politik semata-mata, menurutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan