"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahmad Said: Adun PAS pun pernah 'sembelih' PAS

Malaysiakini 

Seorang pemimpin Umno Terengganu hari ini mengingatkan, bukanlah wakil rakyat Umno saja yang pernah menjatuhkan kerajaan sendiri sebaliknya ia turut dilakukan PAS.

Mengingatkan mengenai hal itu, Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata ia berlaku apabila Adun PAS "menyembelih" kerajaannya sendiri pada beberapa dekad silam.

Meskipun tidak menyatakan dengan jelas insiden tersebut, Ahmad (BN-Kijal) dipercayai merujuk kepada kejadian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 1961 yang menyaksikan kerajaan PAS ditumbangkan oleh Adunnya sendiri.

"Tak kira siapa 'sembelih' siapa. Terengganu pernah berlaku awal sekali tahun 1961, PAS 'sembelih' PAS juga, orang ingat belaka sejarah.

"Mu tahu ke dok tahun 1961 undi tak percaya pada PAS. PAS perintah Terengganu dan ada undi tak percaya daripada orang PAS sendiri," katanya di Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Ahmad yang terkenal dengan sikap lantang itu terdahulu bangun mencelah ucapan perbahasan Belanjawan 2022 Terengganu yang disampaikan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut).

Sebelum itu Nawi membangkitkan kebimbangannya terhadap kemungkinan akan berlaku "perpecahan orang Melayu di Terengganu" susulan tindakan PAS bertanding melawan Umno-BN dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka.

Nawi menyentuh mengenai sikap PAS yang memilih Bersatu dan Perikatan Nasional untuk menyertai PRN berkenaan walaupun parti itu sudah menandatangani piagam Muafakat Nasional bersama Umno.

Anggap khianati perpaduan

Dia juga menyebut mengenani pelbagai kejadian di Terengganu ketika PAS dan Umno berseteru termasuk kejadian sembahyang dua imam, menolak sembelihan orang yang tidak sama parti, serta bernikah semula kerana tidak berpuas hati proses itu dilakukan oleh musuh politik.

Kenyataan Nawi itu kemudiannya menjadikan perbahasan agak panas sehingga ada wakil rakyat PAS yang mencelah dan menyatakan PRN Melaka berpunca daripada sikap Adun Umno yang menjatuhkan kerajaan sendiri.

Ahmad kemudiannya bangkit dan menyatakan menjatuhkan kerajaan sendiri juga pernah dilakukan oleh wakil rakyat PAS terhadap kerajaan parti itu di Terengganu.

Sebagai rekod kerajaan Terengganu ketika itu diketuai Adun PAS yang mewakili kawasan Setiu, Mohd Daud Abdul Samad. Krisis yang berpanjangan sejak penghujung 1950-an menyaksikan berlaku perpecahan dalaman.

Pada masa sama PAS berdepan dengan cabaran daripada Perikatan dan Parti Negara.

Selepas PRU pertama yang diadakan pada 1959, PAS menguasai DUN Terengganu namun dalam majoriti tipis apabila memenangi 13 daripada 24 kerusi yang ada.

Tujuh kerusi pula dimenangi Perikatan-Umno manakala empat lagi Parti Negara.

PAS kemudian berjaya menambah bilangan kerusi mereka dengan kemasukan Adun Parti Negara, Ismail Abbas (Langkap) manakala Perikatan berusaha mendapat sokongan tiga lagi wakil Parti Negara.

Pada 30 Okt 1961 Wan Daud Wan Ahmad - yang memenangi kerusi DUN Ladang atas tiket Parti Negara namun menyertai Umno kemudiannya - mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Mohd Daud.

Seorang daripada wakil rakyat yang menyokong usul itu semasa pengundian dibuat ialah Adun PAS bagi kawasan Jeram, Ahmad Azam Napiah, manakala dua lagi Adun PAS, Husin Jusoh (Hulu Besut) dan Muhammad Ismail (Besut Tengah) pula berkecuali.

Semasa undian, usul tidak percaya itu memperoleh 13 sokongan manakala lima yang menolak sekalli gus membawa kepada tumbangnya kerajaan PAS pada Oktober 1961.

Insiden Adun PAS mengemukakan usul undi tidak percaya juga berlaku di DUN Kelantan pada 1977 apabila parti itu berdepan dengan konflik yang mempertemukan kumpulan Mohd Asri Muda dengan Menteri Besar Mohamed Nasir.

Usul undi tidak percaya ke atas Mohamed dibawa Adun Simpangan Hussein Abdullah dan disokong oleh Adun Bandar Pasir Mas, Hashim Omar, kedua-duanya dari PAS.

Selepas undian dijalankan usul tersebut diluluskan dengan 20 undi menyokong dan 16 undi menolaknya.

Perbahasan di DUN Terengganu hari ini mula panas apabila Nawi menyifatkan tindakan PAS bersama dengan PN menentang BN di Melaka sebagai mengkhianati perpaduan Melayu.

Ia semakin panas apabila Ahmad turut mencelah. Bagaimanapun kehangatan itu berjaya dikawal kemudiannya oleh Speaker, Yahaya Ali.

Tiada ulasan: