"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas bergelar Tan Sri, Hadi berpantun dakwa PH tipu di Melaka

ARIF ATAN

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang kini sudah bergelar ‘Tan Sri’ menyampaikan dua rangkap pantun menjelang kurang seminggu berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri berkenaan dalam pantunnya mendakwa Pakatan Harapan (PH) melakukan penipuan di Melaka.

Sehubungan itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sejak 2008 menyeru agar sokongan diberi terhadap Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu yang merupakan musuh besar Umno.

Poster dengan dua rangkap pantun yang dimuatnaik di akaun rasmi Facebook, Twitter dan Instagram Hadi hari ini adalah seperti berikut:

Buah salak buah kedondong,

Kumpul semua dalam baldi,

Bukan salah ibu mengandung,

Salah pangkah undi.


Di atas robohan Kota Melaka,

Papan cengal kita tegakkan,

Penipuan PH terhadap Melaka,

Perikatan Nasional kita tegakkan.

Hadi yang merupakan Timbalan Pengerusi PN menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) dengan gelaran ‘Tan Sri’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

‘Tan Sri’ yang disandang itu kemudiannya dilihat mengundang buah mulut orang ramai di media sosial yang rata-ratanya mempersoal kelayakan dan jasa bakti Hadi kepada negara sehingga diberi gelaran tersebut.

Warganet antara lain turut mengaitkan kekerapan Hadi, 74, tidak hadir dalam sidang perbahasan Dewan Rakyat serta Amanat Haji Hadi 1981 yang telah memecah-belahkan masyarakat Melayu sebelum hanya difatwakan haram pada 2002.

Bahkan, ada netizen yang mengaitkan dengan konsep istidraj iaitu pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhai-Nya.

Pada PRN Melaka, 20 November ini, Pas bersama PN termasuk menggunakan lambangnya sekali gus dilihat membelakangkan Umno dalam kerjasama politik, Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada September 2019.

Bahkan, Pas bergasak dengan Umno di tujuh kerusi DUN iaitu di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018, Umno menguasai 13 DUN di Melaka, dua DUN dipegang Bersatu manakala langsung tiada kerusi dimenangi Pas.

Krisis kepercayaan dan tanggapan Umno dikhianati Pas dilihat memuncak apabila ada pemimpin dari parti yang sinonim dengan warna hijau itu berharap agar Umno tewas dalam PRN Melaka.



Tiada ulasan: