"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas dikecam guna lambang PN

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet mengecam Pas yang muktamad untuk bersama Bersatu bukannya Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ruangan komentar Facebook Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali misalnya dihujani kritikan dan cemuhan susulan keputusan parti itu menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

“Dalil dah keluar. Itulah kerja korang. Segala kemungkaran jadi halal. Memalukan,” kecam Masnoor Saad.

Sementara itu, Norazmi Ismail dilihat keliru mana satu parti politik yang boleh dipercayai pada pilihan raya akan datang apabila menulis, “Tak tahulah yang mana kaca yang mana permata.”

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja parti itu telah meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka yang berlangsung pada 20 November depan.

“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama’ Pas yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ekoran ketiadaan lambang Pas pada PRN Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH) itu, jentera pilihan raya Pas dilihat bakal menjadi ‘kuli’ sahaja sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Bersedialah untuk jadi khadam tukang pacak bendera!” sinis Joe Hary manakala Izzuddin Izzat juga sependapat apabila berkata, “Tetaplah menjadi khadam pak pacak.”

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Dalam masa sama, keputusan Pas menggunakan lambang PN tersebut sekali gus dilihat orang ramai sebagai berkuburnya Muafakat Nasional (MN) antara parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dengan Umno.

Piagam MN yang dimeterai pada 14 September 2019 itu dijangka bakal luput menjelang hari penamaan calon pada 8 November ini.

“Terlerai sudah Muafakat Nasional secara rasminya nanti menjelang 8 November 2021,” kata Ismail Ali.

PN yang dipengerusikan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang juga Presiden Bersatu merupakan gabungan Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Gerakan.

Pas dengan 18 anggota Dewan Rakyat sebelum ini memang mesra dengan Bersatu sepanjang tempoh 17 bulan pentadbiran singkat kerajaan PN.

Bagaimanapun, pemimpin kanan Pas menganggap parti itu sebagai penyatu yang memperkasa MN dan mempertahankan PN ketika pada masa sama Umno dan Bersatu dilihat saling mencurigai pendekatan politik Pas.

Berebutkan sasaran pengundi Melayu dan kawasan luar bandar yang sama dengan Umno dan Bersatu, Hadi bagaimanapun mendakwa sudah mempunyai strategi untuk lonjakan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tiada ulasan: