"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Melaka: Rakaman bungkusan makanan diselit RM50, polis buka kertas siasatan

FMT Reporters

Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan berlakunya unsur meraih undi menjelang pilihan raya negeri Melaka selepas tersebarnya gambar memaparkan bungkusan makanan diselit wang RM50 yang didakwa berlaku di Melaka. (gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung gambar tular memaparkan bungkusan makanan diselit wang RM50 yang didakwa berunsurkan politik bertujuan meraih undi menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Azlan Abu berkata, gambar terbabit dimuat naik di media sosial sebelum tular sejak semalam dan didakwa berlaku di Melaka.

“Gambar tersebut dimuat naik oleh beberapa akaun Facebook yang menunjukkan bungkusan makanan bersama duit RM50.

“Turut disertakan kapsyen gambar yang menyatakan kejadian itu berlaku di Melaka dan komen pembaca mendakwa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi,” katanya menurut laporan Kosmo.

Azlan berkata, susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, hasil semakan mendapati satu klip video berhubung kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada warga emas.

“Bagaimanapun menerusi klip tersebut kita tidak mengesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik,” katanya.

Tambahnya, sejak 25 Okt lalu sehingga semalam, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka dan lima kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan membabitkan PRN Melaka.

Tiada ulasan: