"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Tidak salah dikata ada orang agama jual agama untuk dapat nama’

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Polemik sunnah – bid’ah dalam negara kita tiada penghujung. Pertempuran “Wahabi – Aswaja” sudah bukan lagi dalam medan “keagamaan” tapi menerobos masuk ke ruang kehidupan sosial.

Sudah ada aksi bermasam muka, tuduh-menuduh dan tolak-menolak dalam kehidupan sosial. Label melabel, cop mengecop, berbalas hujah tanpa adab, sindir menyindir, sudah jadi asam garam.

Pelakunya bukan orang biasa macam kita-kita, tapi agamawan yang punya nama, punya gelar, punya kesarjanaan, punya autoriti. Cuba tengok YouTube, atau baca status mereka di Facebook, kita akan jumpa semua itu.

Apa puncanya? Entahlah. Tapi bagi saya, mungkin mereka sedang mencari nama, sama seperti orang politik mencari kuasa. Mereka tidak jujur dalam mengembang, menyampai serta membela agama. Macam orang politik juga seperti yang mereka selalu sebut.

Kalau mereka jujur, sebagai agamawan, mengapa mereka harus bergerak ke kanan dan ke kiri secara bertentangan? Mengapa mereka tidak bersama-sama bergerak ke tengah untuk mencari titik pertemuan? Mengapa mereka tidak fokus kepada seteru sebenar iaitu iblis dan bala tenteranya, tetapi “berperang sesama sendiri”?

Apabila mereka berbicara tentang orang politik, bukan main mereka melabel orang politik sebagai gila kuasa. Kata mereka, orang politik semua sama, hanya fikir tentang masa depan politik diri dan kelompok masing-masing saja. Fuh, sedap mereka mengata orang politik.

Mereka, golongan agamawan macam mana pula? Mereka bergaduh untuk apa kalau bukan untuk mencari nama dan darjat? Pandai mereka menasihati orang politik untuk berakhlak, adakah mereka golongan agamawan yang “berperang” sesama sendiri itu berakhlak?

Saya beri contoh dalam isu sambutan maulid misalnya. Tak bolehkah agamawan “Wahabi – Aswaja” duduk semeja atau beberapa meja dan dapatkan suatu kata sepakat “do’s and don’t” dalam sambutan maulid? Sesudah sepakat, hulurkan kepada masyarakat untuk diterima pakai.

Ya, saya tahu tidak semudah itu penyokong kedua-dua pihak akan terima persepakatan itu, tetapi sekurang-kurangnya, tokoh-tokoh mereka sudah berjaya menunjukkan kepada masyarakat akan keterbukaan dan keharmonian hubungan antara kedua-dua pihak. Itu lebih mudah untuk langkah mendamaikan penyokong.

Tapi itu tidak berlaku, mengapa? Ya, kerana kedua-dua pihak mahu dilihat hebat dan lebih berilmu serta mungkin “lebih Islam” dan lebih “faham agama” berbanding pihak satu lagi di hadapan penyokong masing-masing. Jika tidak begitu, nanti kehilangan penyokong dan pengikut (baca pentaksub).

Hujah saya ialah, agama ini rosak bukan kerana orang lain, tetapi kerana pemuka agama itu sendiri. Jika orang politik dikata oleh pemuka agama sebagai perosak negara kerana gila kuasa, maka kami orang politik nak kata pula, agama rosak kerana orang agama gila nama.

Jika dikata ada orang politik menjual agama untuk laba politik, maka tidak salah dikata, ada orang agama jual agama untuk dapat nama.

*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional.

Tiada ulasan: