"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Budak parah ditikam jiran

Kuala Lumpur: Kanak-kanak lelaki parah selepas ditikam dengan pisau oleh lelaki warga emas yang juga jirannya di taman permainan rumah pangsa Jalan Loke Yew, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.39 petang.

"Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pergi ke lokasi dan mendapati mangsa berusia empat tahun yang cedera di bahagian perut dan paha sudah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut. 

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek berusia lingkungan 80-an dikesan menyembunyikan diri di salah sebuah unit rumah pangsa berkenaan sebelum dia ditahan pihak polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan awal mendapati suspek berkenaan mempunyai rekod rawatan psikiatri.

"Motif kejadian itu masih dalam siasatan dan kami difahamkan bahawa kanak-kanak itu dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda lain-lain yang merbahaya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Tiada ulasan: