"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belum pun PRN Johor, Pas sudah nak tinggalkan Bersatu?

SHAHBUDIN HUSIN

Dua hari lalu saya telah menulis dengan menjangkakan Pas akan meninggalkan Bersatu selepas PRN Johor berikutan jangkaan bahawa BN akan memenangi pilihanraya tersebut.

Rupa-rupanya, belum pun PRN Johor diadakan lagi, Pas sudah bergerak ke arah itu dengan tiba-tiba bersuara mahu menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional atau MN yang mereka tidak berapa pedulikan selama ini.

Cekapnya Pas? Lupakah Pas bahawa mereka adalah anggota rasmi Perikatan Nasional atau PN bersama Bersatu, Gerakan dan juga Star?

Bagi tujuan menjayakan MN itu, Pas secara terbuka mengakui sudah pun menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi memastikan kejayaan MN pada PRN itu nanti.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, antara butiran yang akan dibincangkan termasuk usaha memperkasakan perjuangan ummah antara Umno serta Pas di bawah payung MN.

“Buat masa ini, kita sedang berusaha ke arah itu (menjayakan MN). Pas Johor sudah berhubung dengan pihak Umno Johor dan telah mendapat maklum balas positif untuk bertemu Menteri Besar.

“InsyaAllah, satu perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat hasil hubungan baik antara kedua-dua parti,” katanya sebagaimana dipetik laporan sebuah portal berita.

Abdullah berkata, Pas Pusat juga telah memberikan lampu hijau buat Pas Johor supaya menjayakan usaha penyatuan MN itu dan mengharapkan dapat mencapai persefahaman bagi tujuan berkenaan.

Tambah beliau, pembahagian kerusi juga akan dibincangkan bersama kepimpinan pusat selain dalam pertemuan bersama Hasni sedikit masa lagi.

“Sedikit atau banyak kerusi yang akan ditandingi, ia hanya dibincangkan di peringkat dalaman sahaja. Masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

DUN Johor dibubarkan semalam, selepas beberapa minggu spekulasi dan gesaan daripada pemimpin UMNO yang mahu PRN segera diadakan.

Sultan Johor,Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar, Hasni Mohammad pada petang semalam di Istana Bukit Serene.

PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN, bermaksud yang akan datang mungkin diadakan pada atau sebelum 23 Mac.

Tiada ulasan: