"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat hilang ‘mood’ buang undi kerana demokrasi dipermainkan

ZAIRI SUBOH

Negara dan rakyat sekali lagi akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah penat lelah mereka ketika PRN Melaka pada November yang lalu belum pun hilang. PRN yang dimaksudkan ialah di negeri Johor setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada Sabtu lalu.

Kini rakyat tertanya tanya apa keperluan untuk DUN Johor dibubarkan? Sedangkan kerajaan Johor yang sedia ada punyai cukup mojoriti untuk terus mentadbir negeri dalam masa tempoh yang berbaki ini sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Adakah perlembagaan tidak membenarkan ia terus berkuasa walaupun dengan hanya kelebihan 1 kerusi berbanding pembangkang?

Atau adakah ada desas-desus akan ada ADUN yang bakal lompat ke kem pembangkang yang dikuatiri akan merampas kuasa seperti yang berlaku pada Mac 2020 yang lalu?

Jika kita ingat, PRN Melaka terpaksa dijalankan disebabkan oleh 4 orang ADUN yang melompat dan menyokong Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan.

Dengan pantas ketua menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali mengirim surat memohon pembubaran DUN Melaka kepada Tuan Yang Terutama (TYT) ketika itu. Tetapi apa yang berlaku di Johor ketika ini adalah jauh berbeza.

Matinya amalan demokrasi

Selepas langkah Sheraton pada awal tahun 2020 yang lalu, kita dapat lihat amalan demokrasi di negara kita makin menjadi kucar kacir.

Amalan melompat parti dan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional inilah yang menjadi punca demokrasi negara kita akan bakal mati.

Rakyat menjadi mangsa keadaan. Mereka yang dipilih dalam PRU-14 tiba-tiba melompat dan bergabung menjadi kerajaan. Yang peliknya gabungan pembangkang ketika itu iaitu Barisan Nasional yang kalah teruk ketika PRU-14, menjadi kerajaan dengan sokongan beberapa orang dari kem Azmin Ali dan kem Mahiaddin Md Yasin.

Ia diikuti oleh beberapa ADUN di beberapa negeri sehingga terjatuhnya kerajaan PH di Melaka, Johor, Perak dan Kedah. Kerajaan Perikatan Nasional ini dikenali juga sebagai kerajaan Melayu Islam seperti yang digembar gemburkan. Kita sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

PRN Melaka

18 bulan selepas kerajaan PN diwujudkan, kita lihat sekali lagi berlaku perubahan kepada pucuk pimpinan negara.

Dari seorang PM bernama Mahiaddin, Umno menarik sokongan dan menaikkan Ismail Sabri. Yang peliknya ia disokong pula oleh kem Azmin dan jugak kem Mahiaddin sekali lagi. Di samping sokongan Pas yang dilihat tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menjaga kepentingan diri mereka sahaja.

Jika langkah Sheraton dibenarkan, sesuatu yang pelik berlaku pula di Melaka. Ketika 4 oang ADUN kerajaan melompat menyokong pembangkang dan PH punyai cukup majoriti untuk mentadbir kerajaan Melaka, Umno pula mengambil keputusan untuk membubarkan DUN dan mengadakan Piliha Raya Negeri.

Kenapa mereka tidak boleh menyerah sahaja kerajaan seperti mana PH menyerahnya pada tahun 2020 yang lalu apabila mereka hilang sokongan majoriti?

Pada 2020 dahulu mereka kata amalan demokrasi negara kita membenarkan kerajaan dibentuk jika cukup majoriti. Tetapi apabila PH cukup majoriti mereka taknak akui.

Amalan demokrasi negara kita bakal mati kerana PRN Johor bakal diadakan. Kenapa ia bakal mati sedangkan itulah demokrasi?

Bukankah demokrasi bermakna kita memberi peluang kepada rakyat untuk memilih siapa wakil mereka dan membentuk kerajaan? Ya benar, tetapi apabila demokrasi ini boleh dirobek pada bila-bila masa demi kepentingan politik sesuatu parti, maka nantikan kematiannya bakal tiba.

Rakyat akan mula hilang mood untuk meraikan pesta demokrasi dengan membuang undi kerana pesta demokrasi ini dilihat sewenang-wenangnya dimainkan dan diwujudkan oleh mereka yang punya kepentingan untuk mengukuhkan kedudukan mereka sahaja.

Tidak peduli hal rakyat yang sedang dihimpit dengan kenaikan harga barang dan keadaan Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya.

Sudah tiba masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia bukan sahaja diberi kuasa untuk menjalankan pilihanraya, tetapi juga diberi kuasa untuk menentukan adakah pilihanraya itu sesuai diadakan ataupun sebaliknya.

SPR perlu diberi kuasa menentukan sama ada perlunya pilihanraya seperti apa yang berlaku di Melaka yang cukup majoriti untuk kerajaan baru dibentuk ataupun perlukah pilihanraya diadakan di Johor yang majoritinya sudah sedia ada untuk terus mentadbir sehingga tamatnya tempoh penggal sidang DUN nanti.

Wang rakyat dibazirkan

Jika PRN Melaka yang mempunyai 28 DUN menelan belanja RM46 juta, maka PRN Johor yang mempunyai 56 kerusi DUN ini pastinya bakal menghabiskan RM90 ke RM100 juta wang rakyat ketika masalah Covid-19 dan ekonomi belum pulih sepenuhnya. Ditambah pula dengan masalah banjir yang meragut kerugian jutaan ringgit baru baru ini.

Adakah rakyat akan menghukum Umno pada PRN Johor kali ini dengan apa yang mereka lakukan terhadap amalan demokrasi yang bakal mati ini atau adakah rakyat terus memberi mandat kepada Umno untuk terus memegang tampuk pemerintahan di Johor? Sama sama kita nantikan.

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka

Tiada ulasan: