"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Tanpa Umno, Pas tak akan jadi sebahagian dari kerajaan’ – Tok Mat bidas Hadi

SURI LAILA

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengingatkan Pas bahawa tanpa Umno, Pas tidak mungkin akan berada di dalam kerajaan seperti hari ini.

Beliau berkata, Umno juga bangkit semula bukan kerana ‘ubat mujarab’ Pas, tetapi kerana sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

“Pas tahu, tanpa Umno dia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam kerajaan persekutuan selepas PRU nanti.

“Jika Pas merasakan BN itu tidak lagi relevan, kita pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya. Dan biarlah rakyat juga memutuskan sama ada Pas dan PN itu relevan lagikah atau tidak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah disembuhkan mereka.

Beliau turut menyifatkan tindakan Umno meninggalkan mereka ketika sudah ‘sembuh’ sebagai tidak bermoral dan menganggap BN tidak lagi relevan.

Sementara itu, Mohamad Hasan yang turut dikenali sebagai Tok Mat berkata, beliau tidak kisah jika ada mana-mana pihak yang menggelar Umno dengan pelbagai gelaran seperti itik, angsa, harimau dan sebagainya.

Ini kerana katanya, Umno masih lagi parti Melayu terbesar malah parti politik terbesar di Malaysia.

Tiada ulasan: