"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin PAS Selangor: Mustahil tawan Selangor tanpa kerjasama Umno

Nora Mahpar

PETALING JAYA: PAS Selangor akan meneruskan kerjasama dengan Umno untuk menawan negeri itu pada PRU akan datang, sekali pun persoalan mengenai penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional masih berterusan, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Shafie Ngah membayangkan.

Bekas ADUN Bangi itu berkata, kenyataan Presiden Hadi Awang sebelum ini bahawa PAS tidak boleh bersama Umno dalam MN sekiranya parti itu tetap berkeras menolak Bersatu, harus diimbangi dengan penerimaan PAS negeri masing-masing.

“Ikut keadaan negeri masing-masing. Paling penting muafakat ummah mesti didahulukan. Sekiranya parti atau NGO lain sehaluan dengan kita, boleh turut serta,” katanya.

“Di atas kertas, soal PRU, kalau kita tak bersama (Umno) kita takkan dapat Selangor. Kita kena bekerja untuk jayakan muafakat ummah,” kata beliau kepada FMT.

Pada masa sama, Shafie menerima pendirian PAS Pusat bahawa Bersatu juga berperanan dalam merealisasikan perpaduan ummah.

Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat yang kemudiannya dijenamakan sebagai Pakatan Harapan sejak 2008 dan dilihat sebagai kubu kuat PKR, DAP dan Amanah.

Hadi sebelum ini menuduh Umno melanggar piagam MN kerana menolak penyertaan Bersatu dalam gagasan itu yang ditubuhkan pada 2019.

Pada pilihan raya negeri Melaka, Nov lalu, PAS memilih untuk bersekutu dengan Bersatu, namun parti Islam itu tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya manakala Umno menang selesa untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Shafie berkata tindakan Umno beberapa negeri termasuk Kelantan menolak kerjasama dengan PAS lebih berupa strategi menghadapi pilihan raya.

“Negeri-negeri lain itu ada pandangan mereka sendiri, saya percaya itu berbentuk taktikal pilihan raya. Taktik ni akan disesuaikan mengikut negeri masing-masing.

“Tujuan dia ialah nak menang PRU dan memenangi hati pengundi. Jadi apa yang dibuat di negeri lain itu sesuai dengan demografi dan ‘pattern’ pengundi di negeri tersebut,” katanya.

Di Selangor, Shafie berkata PAS dan Umno negeri komited untuk terus bergabung di bawah payung MN demi memastikan agenda muafakat ummah tercapai.

“Setakat ini tiada ‘move’ yang lain melainkan yang satu ini (MN) saja. Setakat ni kita (PAS Selangor) sudah adakan beberapa pertemuan (dengan pemimpin Umno negeri) dan komitmen (kerjasama) itu sentiasa diperbaharui setiap masa,” katanya.

Semalam, Ketua Umno Selangor Noh Omar berkata pihaknya mahu meneruskan kerjasama dengan PAS negeri, meskipun Umno Kelantan mengambil pendirian sebaliknya.

Noh akur kerjasama Umno-PAS penting untuk menawan Selangor daripada PH.

Beliau berkata demikian setelah Umno Kelantan mengumumkan parti itu tidak akan meneruskan kerjasama dengan PAS negeri yang masih menjalin kerjasama dengan Bersatu.

Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob, berkata parti itu, menerusi Barisan Nasional, akan menentang PAS di semua kerusi DUN dan parlimen di negeri itu.

Tiada ulasan: