"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah nyawa seseorang yang tidak memiliki dokumen sah tak penting kepada imigresen Sabah

Lepas adik mati dalam tahanan, keluarga rayu bebaskan abang

Hariz Mohd

Pada 3 Ogos lalu, Mohd Raman Albat, 18, menghembuskan nafas terakhirnya di hospital Tawau di Sabah.

Remaja itu, yang ditahan di pusat tahanan imigresen, dikatakan mengadu sakit dada selama beberapa hari tetapi hanya dibawa ke hospital sehari sebelum dia meninggal dunia.

Kini, keluarga dan aktivis hak asasi manusia telah melancarkan kempen untuk membebaskan abangnya, Mohd Hassan, 19, kerana bimbang dia juga akan mengalami nasib yang sama.

Menurut aktivis Jefry Musa, adik-beradik itu ditahan pada 2020 kerana tidak memiliki dokumen yang sah walaupun bapa mereka warga Malaysia.

Status pasangan adik beradik itu menjadi isu kerana ibu mereka tidak mempunyai kerakyatan, oleh itu, perkahwinan ibu bapa mereka tidak didaftarkan secara sah.

"Sekarang ini, keutamaan keluarga adalah untuk memperjuangkan kebebasan Hassan. Dia bukan warga Filipina seperti yang didakwa pihak berkuasa. Dia tidak mempunyai saudara mara di Filipina.

“Setakat ini, sejak kematian abangnya, mereka sekeluarga tidak dapat menghubungi Hassan, jadi kami tidak tahu keadaannya.

"Kami mahu mendapatkan keadilan untuk Raman juga. Tetapi sekarang, kempen kami tertumpu untuk menyelamatkan Hassan, dan selepas ini selesai, kami akan bergerak untuk memperjuangkan keadilan untuk Raman," katanya kepada Malaysiakini.

Jefry juga seorang guru dan pernah mengajar adik-beradik lelaki di Iskul Sama Di Laut Omadal, sebuah sekolah berasaskan komuniti yang menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah di sekolah awam kerana status tanpa kerakyatan.

Aktivis itu berkata kira-kira seminggu sebelum kematian mangsa, Hassan telah menghubungi bapa saudaranya dan memberitahu Raman mengadu sakit dada.

Menurutnya, keluarga itu dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Raman dibawa untuk rawatan pada 2 Ogos lalu.

Bedah siasat telah dijalankan tetapi keputusan belum dikeluarkan. Jenazah mangsa telah dikebumikan pada Jumaat lalu.

Jefry mendakwa bahawa apabila bapa saudara mangsa datang untuk mengambil jenazah Raman, dia "ditipu" untuk menandatangani dokumen yang membebaskan Jabatan Imigresen daripada sebarang tanggungjawab dan tiada tindakan undang-undang boleh dimulakan.

"Pakcik itu menyangka ia hanya satu dokumen yang perlu ditandatanganinya untuk menuntut jenazah anak saudaranya. Dia tidak faham maksud sebenarnya. Pada dasarnya, dia telah terpedaya.

“Jadi kami sedang menimbang pilihan undang-undang dan mendapatkan nasihat daripada beberapa peguam, yang telah bersetuju untuk membantu dalam kes ini,” tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi komunikasi korporat Jabatan Imigresen untuk mendapatkan ulasan.

Tiada ulasan: