"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amidon, nama besar rungkai kes bunuh berprofil tinggi di Malaysia

Faisal Asyraf

Amidon Anan, 71, kini mengajar kursus forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

PETALING JAYA: Selama 32 tahun, tugas pakar Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Amidon Anan ialah mencari jawapan, tetapi dia mendapati dirinya sering mengajukan satu soalan berulang kali.

“Apakah perasaan saya jika seseorang yang rapat dengan saya dibunuh?”

Persoalan inilah yang menguatkan tekadnya untuk melakukan terbaik sebagai penyiasat polis bagi membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Satu daripada kes yang tidak dapat dilupakannya ialah seorang wanita berusia 50-an dirogol dan dibunuh kejam selepas rompakan.

“Perompak bukan hanya mengambil barangnya, tetapi turut merogolnya. Dia mencacatkan bahagian kemaluannya,” katanya.

Sepanjang berkhidmat dalam pasukan polis, Amidon mengendalikan hampir 40,000 kes.

“Setiap kali saya melihat mayat mangsa bunuh, terutama wanita dan kanak-kanak, saya akan mengalirkan air mata. Saya menjadikan misi saya untuk mencari keadilan buat mereka,” kata Amidon, yang berkhidmat di Bukit Aman.

Dia sering menjalankan siasatan di tiga lokasi jenayah berbeza dalam sehari untuk mencari bukti dan petunjuk.

Untuk mencari petunjuk, Amidon akan cuba menyelami pemikiran si pelaku dari saat dia tiba di lokasi kejadian.

“Apabila kamu ke tempat kejadian, kamu berhenti di pintu masuk, tarik nafas dalam-dalam dan lihat sekeliling. Dengan setiap langkah, kamu mengimbas persekitaran dan akan dapat banyak maklumat.

“Kamu berjalan dari depan ke pintu belakang dan patah balik. Orang jahat biasanya tidak tergesa-gesa pergi kepada sasaran mereka. Mereka menilai persekitaran mereka,” katanya sambil menambah, ia membantu mengecilkan kawasan di mana barang bukti mungkin berada.

Antara kes besar yang dikendalikan Amidon adalah pembunuhan Canny Ong (2003), Altantuya Shaariibuu (2006), kes rogol dan bunuh Suzaily Mokhtar (2000) dan Nurin Jazlin yang berusia lapan tahun (2007).

Dia juga membantu dalam memburu Geng Mamak yang terkenal dengan kes rompakan jongkong emas bernilai RM12 juta di Lapangan Terbang Subang pada awal 1990-an.

“Sebenarnya, kes Geng Mamak inilah yang menyebabkan polis menubuhkan Unit CSI khusus, selepas mengaitkan beberapa kes rompakan di seluruh negara dengan kumpulan itu.”

Selepas bersara pada 2008, Amidon masih aktif dengan mengajar kursus forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Tiada ulasan: