"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Protes berkait skandal LCS pada Ahad di sekitar Sogo?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Himpunan membantah projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) akan diadakan di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Pihak penganjur, berkata protes akan dilakukan di luar perkarangan pusat beli belah Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 2 petang.

Mereka menuntut kerajaan membentuk suruhanjaya siasatan diraja susulan laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek itu.

Kumpulan itu juga menggesa Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan di atas kegagalan mengambil tanggungjawab terhadap projek bermasalah berkenaan yang menyaksikan berlaku penangguhan berulang kali selama bertahun-tahun.

“Tindakan Hishammuddin sebagai menteri pertahanan ketika itu dan sekarang meletakkan risiko kepada keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan berkenaan juga mendesak kerajaan menangani aduan dibuat bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar, berhubung pembelian kapal tempur itu.

Merujuk kepada laporan PAC, katanya Aziz menghantar 10 surat kepada kerajaan sebagai menyatakan kebimbangannya berhubung projek terbabit, namun semua tidak dihiraukan.

“Ini termasuk lima surat kepada Kementerian Pertahanan, satu kepada setiausaha perbendaharaan, satu kepada ketua setiausaha negara dan dua kepada perdana menteri,” katanya.

Mereka juga menggesa kepimpinan politik, NGO dan wakil persatuan sivil menyertai protes dianjurkan.

Pada Julai, protes hampir serupa diadakan di luar pekarangan Sogo berhubung kenaikan kos sara hidup.

Semalam, Putrajaya bersetuju untuk menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) membabitkan projek berkenaan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kabinet bersetuju menyahklasifikasikan laporan forensik 2019 itu, bagaimanapun proses berkenaan perlu mendapat nasihat dan pandangan peguam negara dan ketua audit negara terlebih dahulu.

Projek LCS mendapat perhatian selepas laporan PAC dikeluarkan yang antara lain mendapati tidak ada sebuah pun kapal itu disiapkan walaupun Putrajaya sudah membelanjakan RM6 bilion.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh juga berkata, Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Sdn Bhd mengenepikan pandangan tentera laut berhubung projek terbabit.

Tiada ulasan: