"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Individu kaitkan institusi pondok dengan ekstremisme perlu mohon maaf

Noorazura Abdul Rahman

am@hmetro.com.my

Pendang: Individu yang membuat tuduhan mengaitkan institusi pondok di negara ini sebagai cuba mengembangkan fahaman ekstremisme serta melahirkan pengganas perlu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Pengerusi Persatuan Tahfiz Negeri Kedah (PETANDA), Mohamad Yaakob berkata, perkara itu tidak sepatutnya disuarakan individu terbabit yang dilihat mahu memberikan imej tidak baik terhadap institusi pengajian agama itu.

"Saya hendak bertanya, yang melakukan letupan di Bali sebelum ini adakah mereka ini lahir atau belajar di institusi pondok? Mereka yang bertindak sedemikian tiada seorang yang lahir dari institusi pondok.

"Disebabkan itu, kami menyangkal dan membantah suara sebegini dan meminta mereka yang membuat tuduhan kembali bertaubat dan memohon maaf secara terbuka di media," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Beras dan Makanan Tahfiz Negeri Kedah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dalam kenyataan, mendakwa lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme membabitkan tenaga pengajar dan pelajarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau sudah menghubungi sendiri Mahmood Zuhdi berhubung kenyataan itu dan meminta maaf atas kekhilafan penggunaan ayat ekstremisme berkenaan.

"Mereka ini perlu mendekati dan mengenali guru di sekolah pondok, kunjungi guru dan kenali mereka. Tok guru ini sebenarnya banyak menasihati supaya murid takut kepada Allah, takut dosa dan api neraka dan mengajak kita mengejar pahala untuk ke syurga.

"Mereka ini tak pernah mengajar agar lawan orang kafir dan guru sendiri tidak pernah berkempen supaya orang ramai belajar dengan mereka, tetapi orang ramai yang mencari mereka untuk menuntut ilmu," katanya.

Mohamad berkata, institusi pondok berjaya memberi sumbangan besar dalam kesejahteraan negeri dan berterima kasih kepada kepimpinan negeri yang memahami dan menyokong sistem pengajian pondok.

"Di Kedah kita ada kira-kira 130 institusi pondok dengan 109 pondok berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan selebihnya masih dalam proses untuk pendaftaran.

"Setakat pengetahuan saya, semua institusi pondok ini tidak ada yang mengamalkan sikap ekstremisme dan keadaan kita semuanya baik belaka," katanya.

Tiada ulasan: