"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hampir 50 tahun lalu, dentuman kuat di Ipoh ragut 40 nyawa

New Straits Times

Ipoh: Penduduk di beberapa kawasan di bandar ini kelmarin melaporkan mengenai dentuman serta gegaran kuat, namun bunyi yang ketika ini dianggap misteri sebenarnya sudah bertahun-tahun dilaporkan kedengaran.

Hampir 50 tahun lalu, satu bunyi kuat kedengaran mencetus bencana yang tidak dapat dibayangkan, meragut puluhan nyawa.

Kampung Kacang Putih di Buntong terkenal dengan sejarah makanan ringan tradisional kaum India, namun di sebalik populariti desa ini ada sejarah tragedi yang menghantui penghuninya, yang mana ramai kini sudah melupakannya.

Peniaga kacang putih yang berhijrah dari Ettayapuram di Tamil Nadu semasa pemerintahan British, awalnya menetap di kaki Gunung Cheroh.

Hidup mereka berubah tragis pada malam 18 Oktober 1973, apabila sebuah batu kapur besar jatuh dari bukit, meranapkan 40 orang. Hanya 12 mayat ditemui, manakala yang lain tidak pernah dijumpai.

Pada 13 November 2020, New Straits Times menemubual Subrumaniam Thangavelu, salah seorang mangsa terselamat, yang ketika itu berusia 14 tahun.

"Kami sedang menonton berita Tamil di TV sekitar jam 7.30 malam sebelum tiba-tiba elektrik terputus.

"Seorang saudara datang berlari dan menjerit mengatakan bukit di belakang kuil runtuh. Keadaan gelap gelita, dan kami tidak dapat melihat apa-apa. Kemudian, tentera sampai dan menggunakan kren untuk mengambil mayat," katanya mengenang malam penuh tragedi itu.

Dia memaklumkan, keluarganya bersama beberapa yang lain yang mana rumah mereka terletak di depan kuil terselamat, namun ramai yang lain terkorban.

"Sebuah banglo era British yang disewa pekerja dobi dan kandang lembu berdekatan musnah sepenuhnya.

"Selama hampir setahun, orang ramai berkunjung ke desa ini untuk melihat kesan bencana itu, terkejut dengan seketul batu besar yang jatuh.

"Menurut penduduk tempatan yang lama tinggal di sini, seorang wanita tua misteri pernah mengunjungi kampung berkenaan, memberi amaran bahawa batu-batu akan jatuh. Penduduk kampung menganggapnya gila.

"Saya tidak pasti sejauh mana cerita itu benar," tambahnya, merenung kisah mengerikan itu.

Susulan tragedi terbabit, kerajaan negeri memindahkan peniaga kacang putih yang terselamat ke Buntong, di mana Kampung Kacang Putih ditubuhkan.

Kisah wanita tua misteri dianggap gila

Walaupun kampung asal kini terbiar, kuil masih berdiri dan hingga kini, peniaga kacang putih masih kembali untuk bersembahyang di sana setiap tahun, tiga hari selepas perayaan Deepavali.

Kini dipenuhi semak samun dan pokok liar, kawasan ini menggamit peringatan suram mengenai runtuhan batu paling teruk dan meragut puluhan nyawa di Perak.

Batu kapur yang tinggal itu adalah monumen sunyi kepada nyawa yang hilang dan tragedi yang selamanya mengubah nasib masyarakat.

Hampir setengah abad kemudian, kisah runtuhan batu Gunung Cheroh masih kekal menghantui, sebahagian besarnya dilupakan tetapi tidak kurang juga kemusnahannya.

Bunyi letupan yang kuat terus menghantui penduduk Ipoh, lebih-lebih lagi baru-baru ini pada 20 Oktober 2018, penduduk bandar turut terkejut dengan bunyi dentuman kuat pada waktu petang.

Bunyi itu mencetus kebimbangan dalam kalangan penduduk, mendorong pelbagai spekulasi mengenai punca bunyi berkenaan, termasuk kemungkinan letupan atau fenomena meteor.

Ada mengatakan bahawa bunyi itu mungkin disebabkan letupan sonik, yang berlaku apabila objek bergerak lebih cepat daripada kelajuan bunyi, tetapi tiada pengesahan rasmi mengenai punca sebenar bunyi terbabit

Insiden itu kekal sebagai misteri kerana tiada laporan lanjut yang dapat mengesahkan punca sebenar bunyi itu.

Terbaharu, insiden membabitkan bunyi misteri kembali berlaku kelmarin kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan tiada latihan berkaitan letupan dilakukan, tiada laporan aktiviti seismik di kawasan terbabit dan tiada letupan kuari berlaku pada hari itu.

2 faktor geologi boleh jadi punca letupan, gegaran

Seorang Geosaintis, Omen Necrofis, menyatakan tiga insiden bunyi letupan kuat di Ipoh mungkin berkaitan dengan faktor geologi.

Beliau berkata, kawasan bukit batu kapur seperti di Ipoh, berpotensi menyebabkan runtuhan batu dari tebing-tebing bukit batu kapur.

"Antara insiden paling signifikan berlaku pada 23 Oktober 1973, semasa hujan lebat berpanjangan di Ipoh, di mana runtuhan tebing batu kapur besar berlaku di Gunung Cheroh.

"Bunyi runtuhan itu sangat kuat, seperti dilaporkan dalam berita (seolah-olah sesuatu jatuh dari langit dan menghentam bumi)," katanya di laman Facebook.

Beliau berkata, kes bunyi dentuman kuat baru-baru ini di Ipoh mungkin berkaitan runtuhan blok batu kapur, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia berlaku di tebing bukit atau di dalam gua batu kapur kecuali jika ada saksi yang melihatnya.

"Bergantung kepada saiz.. semakin besar runtuhan, semakin kuat bunyinya dan semakin besar getaran yang dihasilkan," katanya.

Tambah beliau lagi, fenomena geologi lain yang boleh menghasilkan letupan dan gelombang kejutan ialah 'rock burst.'

"Di Ipoh, batu granit di Banjaran Kledang dan formasi batu kapurnya mempunyai potensi tinggi untuk 'rock burst' akibat tekanan, kemampatan, atau tekanan pada batu.

"Ini kali ketiga insiden ini berlaku di Ipoh, iaitu pada tahun 2018, 2020, dan 2024.

"Tidak ada operasi pesawat, aktiviti letupan kuari, atau jejak meteor yang jelas semasa kejadian. Dua faktor geologi ini boleh menjadi punca letupan dan gegaran," katanya.

Tiada ulasan: