"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kumpulan pecah rumah Rohingya didalangi wanita tumpas

Bernama

Kumpulan dianggotai etnik itu disyaki terlibat 21 kes pecah rumah dengan kerugian RM1.25 juta.

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan kumpulan pecah rumah dianggotai etnik Rohingya susulan penahanan enam individu termasuk dalangnya, seorang wanita berusia 34 tahun.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata semua ditahan di Kota Tinggi pada 25 Sept itu terdiri empat wanita dan dua lelaki berusia 15 hingga 34 tahun.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, dalang itu mempunyai 54 rekod lampau kes jenayah pecah rumah di beberapa negeri, sejak 2014.

“Modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah pada waktu pagi setelah penghuninya keluar bekerja. Mereka menyasarkan barangan yang mudah dijual di pasaran gelap seperti barang kemas, jam tangan, beg berjenama serta wang tunai.

“Semua suspek dipercayai terlibat dengan 21 kes pecah rumah di Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Batu Pahat, dan Melaka, dengan kerugian sebanyak RM1.25 juta. Ketika penahanan mereka, kita berjaya merampas kembali barangan bernilai RM675,500,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Kumar berkata, dalang kumpulan itu dan seorang daripada suspek memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala empat yang lain tiada dokumen pengenalan diri.

“Semua suspek dipercayai ahli keluarga itu kini ditahan di IPK Melaka bagi membantu siasatan berhubung jenayah pecah rumah di negeri berkenaan, sebelum mereka didakwa terhadap 19 pertuduhan di Johor.

“Sebelum ini, dua daripada enam suspek itu telah dituduh di Mahkamah Pontian pada Februari lepas atas kesalahan pecah rumah dan kes berkenaan masih dalam perbicaraan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi lelaki etnik Rohingya yang dikenali Mohammad Shukur Mohamad Salim, 29, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit atau perbuatan jenayah lain boleh menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 019-2792095 dan 07-2212999,” katanya.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan: