"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwaan kasari peniaga, polis buka dua kertas siasatan terhadap pegawai MB Kedah

SITI NUR ZAWANI

Polis kini sedang membuka kertas siasatan selepas tular video pergaduhan dipercayai antara pegawai Menteri Besar Kedah dengan wakil peniaga di tapak Pasar Malam Jalan Pegawai, Alor Setar baru-baru ini.

Wakil peniaga mendakwa mereka telah dikasari oleh pegawai terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Siti Nor Salawati Saad, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada dua lelaki tempatan berusia 48 dan 54 tahun.

Laporan pertama diterima pada jam 1.25 pagi Isnin manakala laporan kedua menyusul pada jam 10.58 pagi hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 11.50 malam Ahad lalu di Alor Setar.

“Berdasarkan rakaman video itu mendapati beberapa individu bertengkar mulut dengan salah seorang duduk di tempat bahagian pemandu sebuah kenderaan dan beberapa lagi individu termasuk individu disyaki terbabit dalam selisih faham ini berada di luar kenderaan.

“Berikutan itu, polis sudah pun membuka dua kertas siasatan berasingan bersangkut kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua pihak dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dirakam keterangan.

Siti Nor Salawati berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua duanya, manakala laporan kedua disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua duanya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Polis menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan sementara siasatan dijalankan.

Tiada ulasan: