"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 lelaki ditahan disyaki rogol pelajar secara bergilir

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Batu Gajah: Polis menahan lima lelaki selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur secara bergilir-gilir di sebuah asrama di sini, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata perkara itu terungkai susulan laporan polis dibuat ibu mangsa apabila anak perempuannya berusia 15 tahun itu tidak pulang ke rumah selepas sesi persekolahan jam 1.30 tengah hari, hari sama.

Katanya, mangsa pada mulanya berjumpa teman lelaki dan berkeliaran di sekitar Batu Gajah.

Dia kemudian berkenalan dengan lelaki baharu dikenali yang kemudiannya mengajak mangsa pergi ke sebuah asrama di situ.

"Mangsa keluar makan bersama dengan kenalan baharu yang kemudian mengajaknya ke sebuah asrama yang turut dihuni lima lelaki lain.

"Mangsa ditawarkan ke sebuah bilik kosong untuk tidur dan berehat sebelum lima lelaki berkenaan masuk ke dalam bilik itu dan merogol mangsa secara bergilir-gilir," katanya dalam kenyataan malam ini.

Zulkafli berkata, mangsa dikesan keesokannya harinya (Selasa) di asrama terbabit dan dibawa ke IPD Batu Gajah untuk disoal siasat.

"Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati mangsa dirogol oleh lima lelaki di dalam asrama berkenaan pada hari sama laporan polis dibuat oleh ibu mangsa (Isnin), kira-kira jam 10.22 malam.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Batu Gajah dengan dipandu arah oleh mangsa, menahan lima lelaki berusia antara 18 hingga 27 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati dua daripada lima suspek itu, berusia 27 tahun masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan satu kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, permohonan reman ke atas kelima-lima suspek dibenarkan oleh majistret selama enam hari bermula 23 hingga 28 Oktober ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan iaitu kerana merogol secara berkumpulan.

Tiada ulasan: