"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gelora nafsu kapten Bangladesh

KOSMO!
Anggota imigresen mengambil keterangan salah seorang wanita Vietnam yang diselamatkan selepas dikurung kapten Bangladesh di sebuah rumah dua tingkat di Klang Isnin lalu.
PETALING JAYA – Perbuatan jahat seorang lelaki Bangladesh bersama konco-konconya mengurung, memukul dan menjadikan sekumpulan tujuh wanita Vietnam sebagai pelacur terbongkar apabila diserbu sepasukan imigresen di Klang, Selangor Isnin lalu.

Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan berkata, serbuan pada pukul 11.23 malam di sebuah rumah kedai dua tingkat itu dilakukan selepas menerima maklumat mengenai pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

Katanya, wanita berusia antara 32 hingga 45 tahun itu menjadi mangsa eksploitasi seks selain dikurung dan dipukul jika enggan melayani pelanggan.

“Siasatan mendapati kesemua mangsa masuk ke negara ini sebagai pelancong tetapi dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis tersebut.

“Premis itu dikawal ketat oleh kapten warga Bangladesh dan dipantau sepanjang masa melalui kamera litar tertutup sehinggakan anggota operasi terpaksa memecahkan pintu utama selepas suspek enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri melalui tingkap,” katanya.
Peralatan yang digunakan untuk melacur.
Menurut kenyataan itu, suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan soal siasat kesemua pasport wanita Vietnam tersebut dipegang oleh ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

Tambahnya, wanita Vietnam itu dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan mereka dilarang keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan.

“Operasi itu turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators 2.0.

Ujar kenyataan itu, imigresen sentiasa memandang serius perkara seumpama itu dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: