"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berang tidak dilayan, lelaki cuba bawa masuk anjing dalam kompleks beli belah

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Dua kertas siasatan dibuka berhubung insiden provokasi seorang lelaki yang membawa anjingnya memasuki perkarangan pusat beli belah di Seksyen 14, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 11.20 pagi, yang mana suspek mengikat anjing peliharaannya di luar bangunan kompleks berkenaan.

Menurutnya, suspek kemudian ke sebuah kedai emas untuk membeli emas seberat satu kilogram.

"Berang akibat tidak di layan, suspek berusia 52 tahun memarahi pekerja kedai emas dengan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga berlaku kekecohan.

"Orang awam berada di kedai emas itu membantu mententeramkan suspek dan berlaku pergelutan, sebelum dileraikan pengawal keselamatan kompleks dan membawa keluar suspek.

"Namun suspek membuat provokasi dan cuba untuk membawa masuk anjing peliharaannya ke dalam bangunan tetapi berjaya di halang oleh pengawal keselamatan bertugas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata polis menerima tiga laporan pada Khamis lalu yang dibuat oleh suspek dan saksi di tempat kejadian.

Katanya, laporan polis yang dibuat suspek disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Sementara, laporan daripada saksi kejadian dijalankan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450 dan Penolong Penyiasat, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034," katanya.

Tiada ulasan: