"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki didakwa tak beri arnab makan hingga mati

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan tidak memberi makan arnab peliharaannya sehingga mati kebuluran pada tahun lalu.

Tertuduh, Shairazi Jamal Hatun, 43, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Shairazi didakwa cuai menyediakan makanan dan minuman bagi dua ekor arnab peliharaannya sehingga menyebabkan seekor daripada haiwan itu mati kebuluran dan seekor lagi terlalu kurus.

Shairazi didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan zoo haiwan peliharaan di Jalan Simpang Pulai, Kampung Kepayang, pada jam 11 pagi, 9 Jun tahun lalu.

Tuduhan itu dibuat mengikut Subseksyen 29(1)(d) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 28 Nov ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tiada ulasan: