"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Nepal ditahan kerana disyaki cuba menculik seorang kanak-kanak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Nepal kerana disyaki cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kuang, Sungai Buloh.

Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, dalam kejadian pada Isnin lalu, suspek ditangkap orang ramai sebelum diserahkan kepada polis selepas disyaki cuba melarikan mangsa, lapor Harian Metro.

Katanya, dalam laporan awal seorang wanita berusia 47 tahun mendakwa terdengar jeritan jirannya meminta tolong pada jam 12.40 tengah hari dan memberitahu ada lelaki cuba menculik anaknya.

“Pengadu kemudian pergi ke rumah jirannya itu dan terlihat suspek lelaki cuba melarikan diri.

“Susulan itu, pengadu bersama beberapa penduduk mengejar lelaki terbabit dan berjaya menahannya berhampiran kawasan pembuangan sampah iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Katanya, berlaku pergelutan antara suspek dan penduduk namun lelaki warga asing itu berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Hafiz berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak daripada jagaan yang sah.

Terdahulu, tular di media sosial video menunjukkan seorang lelaki ditangkap dan diikat orang ramai kerana disyaki cuba menculik seorang kanak-kanak.

Tiada ulasan: