Nora Mahpar
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mengkritik tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang didakwa mencampurkan angka pelawat harian dan jumlah pelancong sebagai data rasmi kedatangan 38 juta pelancong tahun lalu.
Mas Ermieyati yang juga bekas timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan berkata tidak semua pelawat harian yang sebahagian besarnya penduduk di sempadan negara yang bekerja, berniaga dan berstatus pelajar, berbelanja dan bermalam di Malaysia.
“Sepatutnya kalau pelancong, ambil kira data pelancong sahaja, tak perlu masukkan data pelawat harian.
“Kalau nak ambil kira status pelancong, mereka perlu bermalam dan berbelanja, tapi ini tidak.. jangan kelentong perdana menteri konon angka 38 juta itu menunjukkan prestasi hebat menteri,” katanya di Facebook.
Minggu lalu, Tiong berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan menetapkan sasaran baharu kedatangan pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang sebelum ini ditetapkan 36 juta orang.
Menurutnya, keputusan itu diambil susulan kejayaan menarik 38 juta pelancong tahun lalu yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati mendakwa jumlah 38 juta pengunjung pada tahun lalu itu sebenarnya merangkumi 13 juta pelawat harian dan 25 juta pelancong asing.
Beliau turut mendakwa kiraan digunakan Motac ketika ini tidak mengikut barometer ditetapkan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
“Ini tak betul, tak boleh… kita tak boleh takrifkan ia (pelawat harian) sebagai pelancong. YB Menteri saja nak kejar angka tersebut sedangkan Tourism Malaysia dah bertahun-tahun guna barometer yang telah ditetapkan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi portfolio pelancongan seni dan budaya Perikatan Nasional meminta Motac mengadakan perbincangan dengan Imigresen dan Kastam serta Jabatan Perangkaan bagi mendapatkan data lebih tepat.
“Kita nak pastikan pelawat yang masuk ke Malaysia ini apakah tujuannya dan adakah mereka ini berbelanja di Malaysia?
“Seperti contoh ada pemandu lori yang masuk ke Malaysia dari Singapura untuk menghantar barangan dan langsung tidak berbelanja . Gunakan lori mereka sendiri. Apakah kepentingan untuk kita ambil kira kemasukan pemandu lori tersebut sebagai pelancong?,” katanya.
“Datuk Seri (Tiong), saya memerhatikan anda, lebih baik hati-hati,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan