FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis masih memburu dua warga Indonesia yang menghantar tiga daripada empat pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang yang cedera dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit selain yakin ada beberapa lagi individu terbabit, berdasarkan saiz bot dan percakapan daripada saksi.
Katanya, pihaknya juga merakam 14 percakapan membabitkan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selain dua daripada empat suspek yang cedera.
“Mereka terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia yang mana mereka termasuk seorang yang meninggal dunia dikesan tiada dokumen sah.
“Kita percaya mereka ini dalam proses keluar daripada perairan negara menggunakan laluan tidak sah,” katanya pada sidang media IPK Selangor hari ini, menurut Berita Harian.
Sebelum ini dilaporkan, Unit Kecemasan Hospital Sultan Idris Shah menerima tiga lelaki yang mengalami kecederaan akibat ditembak.
Berdasarkan maklumat, tiga lelaki warga Indonesia itu dihantar ke hospital berkenaan kira-kira 7.30 pagi oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Ketiga-tiga lelaki itu mempunyai kaitan dengan dua lagi warga Indonesia yang ditemui dalam bot yang terbabit dengan kejadian itu, termasuk seorang daripadanya maut.
Mengulas tindakan anggota Maritim Malaysia melepaskan tembakan, Hussein berkata, agensi berkenaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk melepaskan tembakan apabila mereka diancam.
“Kita hampir selesaikan siasatan dan akan merujuk pihak Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
“Siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan