FMT Reporters
PETALING JAYA: Hanya kerana RM20, warga Filipina maut ditikam berkali-kali oleh rakan sekerja susulan pertengkaran, dalam kejadian di ladang kelapa sawit, Ulu Lumagar, Papar.
Kejadian sekitar 8 malam, Khamis lalu, dipercayai berpunca wang diberikan bagi membeli ikan dan roti, namun suspek warga Indonesia tidak membelinya atas alasan kedai tutup.
Justeru, mangsa berusia berusia 37 tahun tampil bersemuka dengan suspek mahu meminta kembali wang berkenaan, tetapi suspek enggan memulangkan RM20 itu.
Ketua Polis Papar Kamaruddin Ambo Sakka, berkata punca pertengkaran disebabkan si mati bertanyakan kepada suspek berusia 26 tahun mengenai wang tersebut yang diberikan isteri mangsa, pada minggu lalu.
“Wang tidak pula dipulangkan semua kepada isteri mangsa. Sebelum kejadian itu juga, dikatakan isteri mangsa pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek, namun dia belum membayar wang berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, ketika pertengkaran, suspek bertindak masuk dalam rumahnya dan mengambil pisau kecil lalu terus menyerang mangsa dengan menikam lelaki itu berkali-kali.
Kamaruddin berkata, susulan kejadian, polis menangkap suspek dalam serbuan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, Papar.
“Turut ditahan, dua lelaki dan dua wanita dewasa, warga Indonesia dan Filipina, berusia 20 hingga 60 tahun. Polis juga merampas sebilah pisau berhulu kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan