"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Empat ditahan dalangi 11 kes ragut

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

SERDANG: Tiga lelaki dan seorang wanita dengan 21 rekod jenayah lampau, ditahan polis kerana disyaki terbabit kes ragut rantai emas di Taman Mawar, Puchong di sini jam 4.40 petang pada 3 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata kejadian membabitkan seorang mangsa yang mendakwa rantai leher miliknya diragut dari arah belakang oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal berwarna merah.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran atau jenis motosikal terbabit dan kerugian dianggarkan RM8,000.

"Bertindak di atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Respon Tim Balai Kinrara melancarkan operasi bermula 16 hingga 18 Januari.

"Pihak polis berjaya membuat tangkapan ke atas kesemua suspek terbabit yang berusia lingkungan 31 hingga 55 tahun.

"Suspek B1 ditahan di sekitar Petaling Jaya, manakala B2 yang merupakan suspek utama ditahan bersama B3 dan B4 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, tiga suspek itu ditahan sejurus mendarat di KLIA selepas pulang daripada bercuti di dalam negara.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati tiga daripada suspek berkenaan memiliki 21 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

Anbalagan berkata, saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek berkenaan positif dadah.

"Polis turut merampas sebuah motosikal, helmet dan pakaian dipercayai digunakan ketika samun itu dilakukan, selain rampasan telefon bimbit, jam tangan, rantai serta cincin dipercayai emas.

"Hasil tangkapan dan rampasan ini, polis berjaya menyelesaikan 11 kes samun, ragut di dalam daerah Serdang, Petaling Jaya dan Subang Jaya membabitkan nilai kerugian sekitar RM40,000.

"Suspek direman sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: