"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Padah sembunyi harta daripada isteri

Agensi

Singapura: Lelaki yang cuba menyembunyikan kekayaannya dalam perceraian diperintahkan untuk memasukkan kira-kira S$10 juta (kira-kira RM32.57 juta) dalam harta sepencarian pasangannya yang juga warga Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir menganugerahkan bekas isteri lelaki itu 69 peratus daripada jumlah keseluruhan S$10.2 juta (kira-kira RM33.23 juta) aset perkahwinan, lebih tinggi daripada 50 peratus yang diminta pada mulanya, menurut laporan The Straits Times.

"Ia mewakili penipuan bukan sahaja di mahkamah, tetapi ke atas semua pihak yang terbabit dalam litigasi dan sistem keadilan yang lebih meluas," katanya dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 9 Januari.

Keputusan itu menyebabkan wanita itu meraih kira-kira S$7 juta (kira-kira RM22.8 juta), manakala lelaki itu menerima S$3.1 juta (kira-kira RM10.1 juta).

Wanita itu, warga Malaysia berusia 38 tahun dan bekas suaminya warga Australia berusia 39 tahun mempunyai seorang anak berusia enam tahun.

Lelaki itu pada mulanya mengisytiharkan aset hanya S$11,732 (kira-kira RM38,216) dalam tiga akaun bank dan mendakwa tidak mempunyai simpanan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF), saham atau pelaburan luar negara.

Melalui proses diarahkan mahkamah, wanita itu mendedahkan, suaminya itu adalah pengarah dan pemegang saham dalam kumpulan perniagaan multinasional dan menerima bayaran bulanan sehingga A$10,000 (kira-kira RM32,574).

Katanya, lelaki itu juga memegang lebih 80 peratus entiti di Indonesia yang bernilai S$12 juta (kira-kira RM39.09 juta), tetapi mendakwa perniagaannya tidak bernilai.

"Suami komited untuk menyembunyikan asetnya dan mengemukakan alasan lucu mengapa dia tidak dapat mematuhi kewajipan pendedahannya," kata hakim.

Katanya, lelaki itu tidak dapat dinafikan memiliki jutaan dolar dalam aset, namun mereka-reka cerita yang sangat sukar dipercayai tentang nilai kewangan bersih hanya puluhan ribu dolar.

Mahkamah akhirnya membuat inferens buruk dan menambah S$10 juta merujuk kepada perniagaannya di Indonesia ke dalam harta sepencarian mereka.

Hakim juga memberikan wanita itu tambahan 10 peratus bahagian aset, mengatakan penalti untuk penyembunyian aset mesti cukup berat untuk menggalakkan ketelusan.

Tiada ulasan: