Harapandaily
Penganalisa politik Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan bahawa AMANAH mampu menang belasan kerusi di Kelantan sekiranya ada kerjasama utuh melibatkan BN dan PH.
Kerjasama itu termasuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri, agihan kerusi yang sesuai selain kesepakatan dalam penggunaan logo akan diwakili calon gabungan.
Tidak boleh ada pertembungan tiga penjuru atau lebih, mesti antara calon Amanah dan parti lawan sahaja. Mesti ada kerjasama antara PH-BN menerusi agihan kerusi, lambang yang akan digunakan dan kawasan yang sesuai untuk ditandingi oleh gabungan tersebut.
“Bagi saya Amanah di Kelantan boleh bertanding atas logo BN dan PH di kawasan tertentu. Jika ini dilakukan, tidak mustahil Amanah boleh menambah bilangan kerusi di Kelantan,” katanya, lapor FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu semasa konvensyen tahunan partinya.
Tawfik juga yakin AMANAH mampu menembusi blok pengundi Melayu yang dikuasai Pas dan Umno berdasarkan rekod perkhidmatan Adun tunggal AMANAH -Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama).
Akar umbi setia
“AMANAH tidak akan menjadi parti pilihan kedua atau ketiga selepas Umno dan Pas kerana Amanah ada akar umbi setia berbanding Bersatu yang tiada akar umbi kuat.
“Parti ini berkembang pesat jika dengan segera menambah ahli berkualiti, meningkatkan prestasi lebih baik dan menjadi parti alternatif gerakan Islam yang sederhana,” katanya.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, juga yakin AMANAH mampu mencipta kejutan dalam gelanggang pilihan raya akan datang, dengan bantuan Umno dan PKR.
“Kalau betul strateginya, diberi bantuan sepenuhnya kepada Amanah mungkin apa diidamkan presiden AMANAH boleh menjadi kenyataan,” katanya walaupun atas kertas ‘mimpi’ Mat Sabu dilihat agak mustahil jika dicongak kekuatannya di peringkat nasional.
“Walaupun PAS dianggap Kelantan dan Kelantan dianggap PAS, berbanding Umno, AMANAH mempunyai peluang lebih cerah kerana seterunya adalah PAS.
“Mungkin kali ini AMANAH mampu menguasai lebih banyak DUN jika Umno beri kelonggaran dalam pemilihan kerusi di Kelantan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan