FMT Reporters
PETALING JAYA: Status quo jawatan presiden dan timbalan presiden PKR antara pilihan dipertimbangkan, menjelang pemilihan parti pada Mei.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata ketika ini sedang berlangsung proses mengadakan rundingan agar jawatan utama tidak dipertandingkan.
“Ya, ada perundingan yang kita sedang kita lakukan supaya jawatan-jawatan utama tidak dipertandingkan,” katanya menurut Utusan Malaysia sempena Program Back To School 2025 Parlimen Tambun, di Ipoh.
“Kita bincang semua,” katanya mengulas sama ada ia juga melibatkan jawatan parti disandang Anwar Ibrahim selaku presiden dan Rafizi Ramli, sebagai timbalan.
Dalam pada itu, Shamsul menegaskan perundingan tidak berlaku pertandingan jawatan itu juga sebahagian proses demokrasi.
“Bertanding pun demokrasi. Tidak ada pertandingan itu pun demokrasi juga. Apabila tidak ada pertandingan, bermakna ada berlaku perundingan. Perundingan itu demokrasi.”
Katanya, PKR memfokuskan agenda lebih utama iaitu berkhidmat kepada rakyat sebagai kerajaan, serta persediaan untuk menghadapi PRU16 dijangka penghujung 2027.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan