Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my

Lokasi kejadian seorang wanita maut dirempuh kereta ketika joging di Penampang. - Foto ihsan PDRM
PENAMPANG: Aktiviti riadah sekumpulan individu bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut dirempuh kereta di Kilometer 7.2 berhampiran sebuah pusat beli-belah menghala Pekan Donggongon, di sini, hari ini.
Mangsa wanita berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kes kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah kereta dengan seorang pejalan kaki yang sedang berjoging, jam 6.20 pagi.
Katanya, siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati pejalan kaki dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas di HQE I, Kota Kinabalu akibat parah di kepala.
"Manakala pemandu kereta lelaki tempatan berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu terbabit ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133," katanya.
Sementara itu, Sammy berkata polis ingin menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu dan melintas jalan raya serta tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan