Blok pimpinan PAS dijangka kekal, tiada kejutan, kata penganalisis
Anne Muhammad
PETALING JAYA: Selepas Hadi Awang dikatakan mahu kekal menerajui PAS, tumpuan pemilihan parti bakal beralih ke jawatan timbalan dan naib presiden, kata seorang penganalisis yang menjangkakan penguasaan kumpulan ulama.
Jawatan timbalan presiden PAS kini disandang Tuan Ibrahim Tuan Man manakala kerusi naib presiden diduduki Ahmad Shamsuri Mokhtar, Mohd Amar Abdullah dan Idris Ahmad.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, antara persoalan timbul adakah orang nombor dua bakal dipilih kelak sehaluan dengan Hadi daripada kumpulan ulama atau mungkin berdepan cabaran blok lain.
Namun, beliau berpendapat parti itu mungkin mahu mengelakkan perpecahan dengan mengekalkan blok sedia yang didominasi pemimpin ulama.
“Blok ulama akan kekal sebab tiada keberanian politik (dalam PAS) untuk berbincang bagi elak perpecahan,” katanya kepada FMT.
Bulan lalu, Tuan Ibrahim dalam temu bual bersama FMT berkata beliau belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan kedudukan nombor dua parti kerana ingin melihat pencalonan terlebih dahulu.
Samsuri juga dipetik berkata masih mempertimbangkan sama ada akan mempertahankan jawatan naib presiden disandang sejak 2019 pada pemilihan parti September depan.
“Kalau saya rasa macam saya perlu beri ruang kepada muka baharu yang lebih segar umpamanya, mengapa tidak saya mengundurkan diri,” katanya bulan lalu.
Kelmarin, FMT memetik sumber melaporkan Hadi tidak memberi sebarang bayangan berundur malah bersemangat tinggi untuk terus mengemudi parti itu sejak 2002.
Media sebelum ini melaporkan ada gesaan daripada segelintir ahli PAS supaya Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mengemudi parti terutama dalam berdepan cabaran PRU16.
Lau Zhe wei yang juga dari UIAM berkata, jika Hadi kekal sebagai presiden maka kedudukan Tuan Ibrahim ‘akan selamat’, malah tidak banyak kejutan bakal berlaku.
“Bagi pemilihan kali ini, selagi Hadi kekal, saya tak lihat akan wujud banyak isu yang atau kejutan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan