Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Melaka: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah di sini, meninggal dunia selepas pengsan berhampiran padang ketika berjalan ke kantin pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika waktu rehat.
Menurutnya, sebelum kejadian pada sesi pagi, mangsa berusia 14 tahun mengikuti kelas pendidikan jasmani sukan bola tampar.
"Hasil siasatan awal mangsa dikatakan berjalan ke kantin sebelum tiba-tiba pengsan berhampiran padang sekolah.
"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Bantuan pernafasan CPR diberikan selama 30 minit sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya," katanya kepada pemberita malam ini.
Menurut Christopher, mangsa adalah seorang atlet yang sangat aktif dalam sukan bola tampar sekolah.
"Setakat ini punca kematian mangsa sedang menunggu laporan lengkap makmal.
"Namun kematiannya disahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan