Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 menumpaskan kegiatan penyimpanan dan penjualan arak seludup selepas menyerbu sebuah premis di Taman Daya, di sini, semalam.
Dalam serbuan menerusi Op Taring Alpha 2 pada 6.30 petang itu, empat warga asing berusia antara 19 hingga 39 tahun ditahan, dipercayai penjaga dan pekerja di premis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi itu turut merampas 342 karton minuman keras pelbagai jenama yang tidak bercukai, dengan nilai keseluruhan mencecah RM600,000.
"Semua suspek yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, masing-masing berasal dari India, Bangladesh dan Indonesia.
"Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Mac bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan