FMT Reporters
Mangsa berusia 17 tahun mengalami retak tulang hidung selepas selisih faham dengan lelaki berusia 39 tahun.
Tangkap layar papar insiden seorang lelaki bertengkar dengan pelajar sekolah menengah, dengan mangsa mengalami berdarah hidung.
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pukul pelajar sekolah menengah hingga retak hidung, susulan perselisihan faham di jalan raya, malam ini.
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 17 tahun lebih kurang 9.30 malam tadi bahawa dia dipukul suspek berusia 39 tahun, semasa berada di kawasan berhampiran Saujana Impian, Kajang.
“Kejadian berlaku pada lebih kurang 2.15 petang tadi. Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan selisih faham semasa memandu di atas jalan antara pengadu dan suspek tersebut.
“Dalam kejadian ini pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan retak tulang hidung akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu turut dikenakan tindakan saman trafik.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, orang ramai dinasihat sentiasa berhemah semasa memandu dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Chalart Cinda Eh Nem di talian 017-9825510 bagi membantu siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan