DR SHAHNOR BASRI
Pendedahan Datuk Dr. Marzuki Mohamad, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin, telah membuka satu kebenaran yang tidak lagi boleh diselindungkan:
Perikatan Nasional (PN) sedang berdepan krisis dalaman yang serius, dan puncanya bukan tekanan luar, tetapi sikap Pas sendiri yang gelojoh, tidak berdisiplin dan gagal memahami adab politik berjemaah.
Hakikat bahawa Mahiaddin didesak dan ditekan oleh beberapa Ahli Parlimen Pas supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN sejurus krisis politik Perlis adalah satu perbuatan yang tidak beradab, tidak berperlembagaan dan tidak bermoral dalam sebuah gabungan politik.
Lebih membongkar kebobrokan ini ialah pendirian Mahiaddin sendiri yang jelas menyatakan kesediaan beliau untuk berundur hanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN membuat keputusan secara rasmi.
Itulah jalan yang berprinsip. Itulah jalan berperlembagaan. Dan itulah jalan yang ditolak Pas.
Sebaliknya, Pas memilih tekanan terbuka, ugutan politik dalaman dan desakan tidak berinstitusi. Ini bukan perbezaan pandangan — ini adalah pengkhianatan terhadap semangat gabungan atau sebuah perikatan.
Tokoh-tokoh seperti Afnan Hamimi, Fadhli Shaari dan beberapa pimpinan Pas lain tampil sebagai wajah sebenar parti itu hari ini: tergesa-gesa, emosional dan miskin kefahaman tentang kepimpinan kolektif.
Lebih membimbangkan, sikap ini bukan kes terpencil, tetapi cerminan budaya yang berakar dari atas hingga ke bawah — termasuk kepimpinan tertinggi Pas yang diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.
Dalam politik berjemaah, adab mendahului kuasa. Dalam gabungan, perlembagaan mendahului nafsu.
Namun, Pas bertindak seolah-olah PN ialah milik mutlak mereka, bukan sebuah pakatan yang dibina atas persefahaman dan tanggungjawab bersama.
Mendesak Pengerusi PN berundur tanpa melalui Majlis Tertinggi bukan sahaja mencabuli perlembagaan PN, malah membuktikan satu hakikat pahit:
Pas tidak pernah benar-benar menghormati rakan politik, hanya menghormati kuasa. Untuk pengetahuan pendukung PN, beginilah Pas ketika mereka bersama Pakatan Harapan (PH) mahupun Muafakat Nasional (MN)!
Lebih ironi, Pas hari ini kelihatan sengaja melupakan satu fakta sejarah yang tidak boleh dipadam: Tan Sri Mahiaddin Yassinlah yang membuka pintu Putrajaya kepada Pas.
Di bawah kepimpinan beliau, Pas menikmati jawatan menteri, pengaruh dasar dan akses kuasa yang tidak pernah mereka capai melalui mandat rakyat secara langsung.
Namun, apabila badai melanda, jasa tidak dikenang. Apabila kuasa terancam, adab dibuang. Apabila kepentingan sempit tergugat, kesetiaan menjadi barang dagangan.
Tidak pernah setia
Inilah masalah paling mendasar Pas — mereka tidak pernah setia kepada rakan. UMNO dikhianati dalam MN, Bersatu ditekan dalam PN, dan sesiapa sahaja yang tidak lagi menguntungkan akan ditolak tanpa ihsan.
Lebih parah, Pas terus menunggang agama sebagai alat politik, bukan sebagai panduan akhlak. Ayat al-Quran dan hadis dijadikan perisai retorik, tetapi adab Islam dalam kepimpinan, kesetiaan dan kejujuran politik diketepikan.
Fitnah disebarkan, persepsi dimanipulasi, dan sentimen kaum serta kebencian bangsa terus dibangkitkan demi meraih sokongan politik murahan.
Dengan rekod seperti ini, persoalan besar mesti ditanya secara jujur dan berani: adakah Pas masih layak memimpin ummah?
Bagaimana sebuah parti yang tidak setia kepada rakan, yang memijak perlembagaan gabungan sendiri, yang menormalisasikan fitnah dan yang menjadikan agama sebagai alat kuasa boleh mendakwa dirinya sebagai pembela Islam dan umat?
Krisis Perlis sepatutnya menjadi ujian kematangan PN. Sebaliknya, ia membuka pekung sebenar Pas — sebuah parti yang tidak sabar, tidak berdisiplin dan tidak mampu hidup dalam politik perkongsian kuasa.
Tindakan mendesak Mahiaddin berundur tanpa keputusan Majlis Tertinggi menghantar mesej yang jelas kepada rakyat: PN tidak stabil kerana Pas enggan menghormati sesiapa selain diri sendiri.
Jika beginilah cara Pas memperlakukan tokoh yang membawa mereka ke tampuk kuasa, maka rakyat berhak bimbang tentang masa depan negara sekiranya Pas diberi kuasa lebih besar.
Ummah tidak dipimpin dengan gelojoh, negara tidak dibina dengan fitnah, dan Islam tidak dimartabatkan dengan pengkhianatan.
PN hari ini tidak sedang diserang dari luar. PN sedang dimusnahkan dari dalam. Dan tangan yang paling rakus menggali keruntuhannya ialah Pas sendiri.
Bersatu harus mempertimbangkan kedudukan mereka di dalam PN atau mempertimbangkan kedudukan Pas sebagai rakan kongsi, Pas tidak pernah setia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan