MOHD SHARKAWI LONDING

TANGKAP layar video kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah premis perniagaan di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City, Kulai, kelmarin.
KULAI – Seorang lelaki warga China ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah premis perniagaan di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, insiden berkenaan dikesan sekitar pukul 4 petang, semalam menerusi satu hantaran di laman Facebook yang memaparkan bendera Malaysia dipasang secara songsang.
Jelasnya, susulan penularan video tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun yang dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
“Polis membuat rampasan terhadap sehelai Jalur Gemilang yang dipasang secara tidak betul sebagai bahan bukti untuk membantu siasatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017) berkaitan penyalahgunaan lambang rasmi negara yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan tidak senonoh di tempat awam yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963 berkaitan pelanggaran syarat pas atau permit.
Permohonan reman terhadap suspek telah dikemukakan di Mahkamah Majistret Kulai dan dibenarkan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut,”katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan