Bernama
Penduduk dilarang keluar rumah mulai 9 malam hingga 5 pagi.

Sebuah premis terbakar susulan serangan bom di stesen minyak PTT di Narathiwat, selatan Thailand pada awal pagi Ahad. (Gambar EPA Images)
NARATHIWAT: Thailand menguatkuasakan perintah berkurung serta-merta di Narathiwat susulan siri keganasan membabitkan serangan bom dan pembakaran sengaja pada awal pagi Ahad.
Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Yodawud Puengpak, berkata perintah berkurung itu akan berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak dan penduduk dilarang meninggalkan rumah mulai 9 malam hingga 5 pagi.
“Pihak berkuasa akan melaksanakan langkah bersiri bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, termasuk memperketatkan kawalan di pusat pemeriksaan sempadan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia,” katanya selepas melawat kawasan terjejas di sini.
Sebanyak 11 stesen minyak di Narathiwat, Yala dan Pattani menjadi sasaran serangan bom secara serentak awal pagi tadi.
Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam kenyataan memaklumkan siasatan awal menunjukkan serangan itu dilakukan kumpulan bersenjata dan bertopeng.
Serangan kira-kira 1.10 pagi itu menyasarkan lima stesen minyak PTT di Narathiwat, empat di Yala dan dua di Pattani.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, agensi keselamatan percaya serangan itu “isyarat” sempena pilihan raya pentadbir tempatan pada Ahad, “bukannya pemberontakan”.
Tetapi, tegasnya, insiden sedemikian tidak boleh dibiarkan berulang dan penyelarasan telah dilakukan dengan Tentera Darat Wilayah Keempat dan Polis Wilayah Kesembilan untuk menanganinya.
Ditanya sama ada mesyuarat tergempar dengan agensi keselamatan akan diadakan, Anutin berkata, pihak berkuasa berkaitan sedang mengadakan perbincangan.
Sementara itu, jurucakap polis, Yingyot Thepjamnong, berkata empat cedera, termasuk orang awam dan pegawai polis.
“Seorang daripada mangsa cedera ialah pegawai dari Balai Polis Rangae di Narathiwat yang terkena serpihan bom semasa melakukan pemeriksaan di cawangan stesen minyak Tanyongmas.”
Polis menegaskan komitmen untuk segera memulihkan keamanan dan ketenteraman di kawasan terjejas serta menggesa orang ramai bekerjasama menyalurkan maklumat atau melaporkan individu mencurigakan melalui talian penting 191 atau 1599 yang beroperasi 24 jam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan