Noorazura Abdul Rahman
ALOR SETAR: Sebanyak 43 kes buli direkodkan di Kedah sepanjang 2025, meningkat mendadak berbanding hanya 10 kes pada 2024.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, peningkatan itu menunjukkan isu buli tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan bersepadu semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa serta masyarakat.
“Sepanjang tahun 2025, Polis Diraja Malaysia Kedah merekodkan 43 kes buli berbanding 10 kes pada 2024.
“Daripada jumlah itu, 32 kes berlaku di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah manakala dua kes lagi melibatkan sekolah persendirian.
“Daripada keseluruhan kes itu, seramai 31 pelaku ditangkap dan 11 sudah dituduh di mahkamah.
“Statistik ini membuktikan bahawa perbuatan buli bukan isu kecil dan akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” katanya ketika berucap pada lawatan bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat di Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini, hari ini, sempena sesi persekolahan pertama 2026.
Selain isu buli, Adzli turut mendedahkan statistik membimbangkan berkaitan kes rogol membabitkan pelajar sekolah dengan sebanyak 90 kes direkodkan di Kedah sepanjang 2025.
Katanya, daripada jumlah itu, 78 kes melibatkan pelajar sekolah menengah manakala 12 kes lagi membabitkan murid sekolah rendah.
“Siasatan Unit D11 (Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mendapati kebanyakan kes rogol membabitkan murid sekolah berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral.
“Ia termasuk disebabkan pergaulan bebas tanpa pengawasan serta kepercayaan yang disalahgunakan,” katanya.
Beliau berkata, kesedaran terhadap keselamatan diri serta pendidikan seksual dalam kalangan murid amat penting bagi mencegah jenayah daripada terus berlaku.
“Tiada sesiapa mempunyai hak untuk menyentuh, memaksa atau mengambil kesempatan ke atas diri seseorang sama ada secara fizikal, emosi atau melalui media sosial.
“Sekiranya berlaku sebarang gangguan atau perlakuan mencurigakan, laporkan segera kepada guru, ibu bapa atau pihak berkuasa,” katanya.
Adzli turut memberi peringatan tegas bahawa tiada perlindungan undang-undang diberikan terhadap sebarang perlakuan jenayah walaupun pelaku di bawah umur atau merupakan pelajar sekolah di mana undang-undang akan tetap dilaksanakan tanpa kompromi.
“Sebagai pengajaran, kita boleh merujuk kepada kes buli yang berlaku di Sungai Petani pada Julai 2025 di mana pelaku dua murid sekolah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, walaupun dua individu itu adalah pelajar perempuan tingkatan satu.
“Kes ini membuktikan bahawa satu tindakan salah boleh membawa implikasi besar terhadap masa depan seseorang.
“Oleh yang demikian, saya berharap agar tahun 2026 tidak lagi dicemari dengan kejadian buli di sekolah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan