Muhaamad Hafis Nawawi
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas memaksa seorang wanita melakukan aksi tidak senonoh dan melarikan telefon bimbit mangsa serta kekasihnya dalam kejadian di Setapak, Selasa lalu.
Kejadian jam 11.30 malam itu membabitkan seorang penuntut wanita berusia 19 tahun dan teman lelakinya yang berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan jam 6.23 petang Rabu lalu.
Katanya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang makan burger di dalam kereta di kawasan parkir sebuah medan selera di Ayer Panas, Setapak.
“Mangsa dikatakan sedang merakam video ‘mukbang challenge’ sebelum didatangi suspek berusia 24 tahun yang bertindak menegur dan menuduh mereka melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kereta itu.
“Suspek mengambil kad pengenalan kedua-dua mangsa serta memaksa wanita berkenaan untuk melakukan aksi tidak senonoh bersamanya.
“Suspek kemudian melarikan diri bersama telefon bimbit milik kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Lazim berkata, susulan itu, polis mengesan suspek sebelum menahannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Khamis.
“Suspek kini direman seminggu sehingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan 377C Kanun Keseksaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan