K PRAGALATH
Krisis kepimpinan PN belum reda tetapi krisis di dalam Bersatu meledak lagi.
Adalah diura-urakan bahawa dua pemimpin kanan bakal dikorbankan.
Seorang ialah Timbalan Presiden Datuk Hamzah Zainudin yang juga adalah Ketua Pembangkang.
Seorang lagi ialah naib presiden Datuk Seri Ronald Kiandee.
Media memetik sumber menyatakan bahawa langkah ini berpunca daripada perbezaan hala tuju politik, perebutan pengaruh serta kes-kes mahkamah.
Tokoh yang menggerakkan usaha ini juga dikatakan terlibat dalam melewatkan mesyuarat pelantikan pengerusi PN yang baharu iaitu Datuk Seri Azmin Ali.
Sekiranya mesyuarat PN diteruskan tanpa sebarang penangguhan, terdapat kemungkinan besar usul peletakan jawatan Muhyiddin akan dibentangkan dan dibahaskan secara terbuka oleh kepimpinan gabungan.
Keadaan itu, menurutnya, bakal mencetuskan implikasi besar terhadap struktur kuasa PN dan kepimpinan Bersatu.
Justeru, kelewatan mesyuarat dilihat sebagai usaha untuk membeli masa, menyusun semula sokongan serta meredakan tekanan dalaman yang kini semakin sukar dikawal.
Berhubung langkah pemecatan Hamzah dan Ronald yang bakal dilaksanakan, Azmin dilihat sebagai terdesak untuk mengekalkan kedudukan Muhyiddin sebagai presiden parti.
Ini dipercayai untuk memastikan isu berkaitan kes Sandakan terus tersimpan, memandangkan Hamzah ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, didakwa telah melengkapkan siasatan berhubung video kotor yang dikaitkan dengan Azmin.
“Kebimbangan utama Azmin ialah kes tersebut dibuka semula untuk tujuan pendakwaan,” kata sumber berkenaan.
Dalam pada itu presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali turut mengulas mengenai usaha penyingkiran Hamzah.
“Kalau benar Hamzah dipecat malam ini, saya tidak hairan kerana agenda tertentu dalam parti mahu dilaksanakan tanpa halangan beliau.
“Namun saya percaya Hamzah akan kekal sebagai Ketua Pembangkang kerana keputusan itu bukan hak gabungan parti, tetapi hak setiap Ahli Parlimen untuk memilih,” katanya.”
Sebelum ini Datuk Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) merangkap anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah dipecat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan