"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis berkas 3 pelancong Israel dalam serbuan dadah

KOSMO!
DUA anggota polis menunjukkan barangan rampasan selepas tiga pelancong Israel ditangkap. - Foto Khaosod
BANGKOK – Polis menahan tiga pelancong warga Israel dalam serbuan di sebuah vila mewah di Koh Pha Ngan, Thailand semalam, lapor portal berita Thaiger.

Mereka ditangkap selepas polis menerima aduan mengenai pesta bising pada lewat malam sehingga menemukan dadah di sebuah vila sewaan itu.

Anggota-anggota polis yang menyerbu vila tersebut menemui seorang lelaki berusia 33 tahun bersama dua wanita,  masing-masing berusia 23 dan 24 tahun di dalam penginapan itu.

Semasa pemeriksaan, polis merampas beberapa jenis bahan terlarang, termasuk 3.32 gram kokain, 28.99 gram ketamin dan 0.86 gram ekstasi berbentuk serbuk. 

Mereka juga menemukan 29 peranti vape di lokasi kejadian.

Menurut pihak polis, ketiga-tiga suspek mengaku membeli dadah tersebut daripada seorang rakyat Israel lain yang tinggal di pulau itu. 

Akhbar Bangkok Post melaporkan bahawa mereka menghubungi pembekal itu melalui aplikasi WhatsApp untuk mengatur transaksi.

Polis kemudian mengesan pembekal yang didakwa, seorang lelaki Israel berusia 48 tahun dan menahannya di sebuah rumah berasingan di pulau itu.

Pemeriksaan di premis tersebut menemui jumlah dadah yang lebih besar, termasuk 33.36 gram kokain, 16.07 gram ketamin dan 23 pil ekstasi.

Polis turut menemukan 10.39 gram ekstasi tambahan yang dibungkus dalam beg plastik kecil. 

Mereka juga merampas wang tunai sebanyak 79,000 baht (RM10,000) dari rumah tersebut.

Kesemua empat suspek dibawa ke balai polis Koh Pha Ngan untuk soal siasat. – AGENSI

Tiada ulasan: