"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin: Bersatu tak pernah terlibat dalam krisis Perlis

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sekali lagi menafikan dakwaan partinya terlibat dalam krisis politik di Perlis, sambil menegaskan beliau dan Bersatu tidak pernah melemahkan PAS, sekutu mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kami ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa Bersatu terlibat. Bersatu tidak pernah terlibat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu malam tadi.

Turut hadir ialah Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, yang dilantik sebagai menteri besar Perlis selepas Shukri Ramli daripada PAS meletakkan jawatan atas sebab kesihatan.

Krisis politik di Perlis bulan lalu tercetus selepas lapan Adun PN, termasuk tiga daripada PAS, menarik balik sokongan mereka terhadap Shukri.

Langkah itu mencetuskan dakwaan daripada PAS yang menyatakan mereka telah dikhianati oleh sekutu sendiri.

Pada 27 Disember, Muhyiddin menafikan bahawa parti itu mengarahkan lima Adun Bersatu di Perlis menarik balik sokongan terhadap Shukri sebagai menteri besar.

Beliau berkata Bersatu hanya mengemukakan nama calonnya bagi jawatan itu selepas diminta berbuat demikian oleh pejabat Raja Perlis.

Malam tadi, bekas perdana menteri itu, yang melepaskan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari, menolak dakwaan bahawa Bersatu cuba mensabotaj PAS.

“Kami juga ingin menafikan tuduhan pihak lain yang mengatakan kami pengkhianat. Saya secara peribadi tidak terlibat langsung dalam perkara itu,” katanya.

Beliau turut berkata MPT telah membincangkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu.

Katanya, beliau telah menjelaskan kepada majlis tersebut secara terperinci keadaan yang membawa kepada keputusannya itu.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai peletakan jawatan saya, MPT menghormati keputusan tersebut,” tambahnya.

Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, berkata MPT turut mendengar penjelasan Abu Bakar mengenai krisis Perlis dan berpuas hati dengan keterangannya.

“Bagaimanapun, MPT melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan bahawa parti telah mengkhianati perjanjian antara komponen PN,” katanya dalam satu kenyataan sambil menafikan penglibatan parti itu dalam krisis Perlis.

Beliau berkata MPT turut meneliti hala tuju PN sebagai persediaan menghadapi PRU16.

“Kami mengambil maklum pendirian Bersatu untuk terus kekal sebagai sekutu setia dalam PN,” tambahnya.

Tiada ulasan: