"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mati digigit bapa

Damsyik: Seorang bayi berusia sembilan bulan mati selepas digigit bapanya sendiri.

Menurut laporan media tempatan, lelaki itu menggigit anaknya, Dalal, tanpa belas kasihan di Jaramana, sebuah kawasan di Damsyik beberapa hari lalu.

Kejadian itu dikecam penduduk Syria dengan seorang menulis di laman sosial: ‘Mereka yang tidak mati kerana peluru mati kerana sikap gila penduduk negara ini.’

Perang saudara yang meletus sejak 2011 hingga meragut nyawa lebih 250 juta rakyat negara itu dan memaksa jutaan menjadi pelarian memberi tekanan psikologi kepada sebahagian besar warga Syria.

Kejadian itu yang disiarkan Rangkaian Berita Jaramana di laman Facebooknya adalah kekejaman pertama seumpamanya dilaporkan.

Menurutnya, ini kali pertama bayi digigit hingga mati oleh bapanya sendiri di Syria.

Lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan kecewa dengan kelahiran anak perempuan.

Menurut ibu Dalal, dia menyedari sesuatu yang akan berlaku pada anaknya ketika suaminya mendukung mangsa.

Dia bergegas ke rumah jiran untuk meminta bantuan.

Bagaimanapaun, keadaan terlambat apabila dia menemui anaknya hanya tinggal mayat sekembalinya ke rumah.

Doktor di Hospital Al-Radi di Jaramana, tempat mayat kanak-kanak berkenaan dihantar mengesahkan dia mati kerana gigitan.
-kualalumpurpost

Erdogan balas dendam Perang Dunia Pertama

Abdul Muein Abadi
“OSMANLI Torunu!” (Pewaris Uthmaniyyah!) Demikianlah antara laungan kemenangan mengiringi kejayaan Recep Tayyib Erdogan mengubah sistem pemerintahan Turki menjadi sistem berpresiden bulan lalu.

Tidak sampai sebulan selepas kejayaan referendum Perlembagaan Turki itu, Presiden Erdogan telah pun giat merencanakan percaturan geostrategi imbangan kuasa besar yang boleh dianggap sebagai menebus kembali maruah Turki yang kian lama tercalar sejak Perang Dunia Pertama.

Umum mengetahui bahawa Empayar Turki Uthmaniyyah hancur musnah selepas Perang Dunia Pertama.

Malah sehingga tamat Perang Dunia Kedua, Turki kekal menjadi negara bangsa yang terpaksa menuruti telunjuk kuasa-kuasa Barat.

Jika sewaktu Perang Dunia Pertama dahulu Empayar Uthmaniyyah dikepung British, Perancis, dan Rusia, negara Turki yang wujud kemudiannya selepas Perang Dunia Kedua terkongkong pula dalam Pertubuhan Perjanjian Atantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Namun lain keadaannya apabila Erdogan muncul di pentas politik Turki.

Meskipun beliau dianggap banyak bersandiwara dan beretorik dengan menggunakan isu-isu Islam demi menarik sokongan rakyat Turki dan masyarakat Islam antarabangsa, namun beliau terbukti menjadi watak yang cukup tangkas untuk memimpin Turki menghadapi percaturan terbaharu antara AS yang dipimpin Donald Trump dengan Rusia yang dikuasai Vladimir Putin.

Posisi Turki sejak dahulu lagi sememangnya menjadi tumpuan dalam persaingan sesama kuasa Barat.

Namun pemerintah Turki, khususnya selepas Khalifah Abdul Hamid II digulingkan, seringkali gagal mencongak strategi dan taktikal imbangan kuasa yang seterusnya merugikan Turki.

Terjerumusnya Uthmaniyyah ke kancah Perang Dunia Pertama dalam keadaan logistik, infrastruktur, serta kelengkapan yang serba kekurangan merupakan antara percaturan yang paling merugikan.

Pada waktu itu Uthmaniyyah berhadapan dengan persaingan antara dua blok iaitu British, Perancis, dan Rusia pada satu sisi dengan Jerman dan Austria-Hungary pada sisi yang lain.

Situasi ini hampir sama dengan keadaan geopolitik pada hari ini di mana AS, Britain, serta anggota NATO pada satu sisi sedang dicabar oleh blok Rusia, China, Iran, dan Syria pada sisi yang lain.

Jika sewaktu Perang Dunia Pertama Uthmaniyyah yang dipimpin secara de facto oleh Tiga Pasha (Talat Pasha, Jamal Pasha, dan Envir Pasha) telah secara terburu-buru mengambil pendirian menyertai Jerman dan menyerang Rusia, Erdogan jelas mengambil jalan yang lebih strategik.

Erdogan meskipun mendapat mandat pemusatan kuasa, namun tidak secara tergesa-gesa berpihak kepada Trump (AS) mahupun bersekutu dengan Putin (Rusia). Hal ini terbukti dengan langkah beliau mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemimpin kuasa besar itu pada Mei 2017.

Pada 3 Mei baru-baru ini, Erdogan telah pun ke Sochi, Rusia di mana hubungan Turki-Rusia telah pun dipulihkan.

Hubungan ini sebelumnya bermasalah apabila jet pejuang F-16 Turki menembak jatuh pesawat SU-24 Rusia pada November 2015 yang menyaksikan kedua-dua negara berbeza pendirian dalam kes usaha menumbangkan rejim Bashar al-Assad.

Erdogan pada awalnya berpihak sepenuhnya kepada AS dengan menyertai usaha menumbangkan rejim Assad di Syria.

Namun disebabkan oleh tindakan AS yang tidak bekerjasama dengan Erdogan sewaktu cubaan rampasan kuasa sebahagian tentera Turki serta tindakan AS menyokong pihak YPG Kurdish yang dianggap sebagai pemberontak oleh Turki, maka langkah yang pragmatik telah diambil.

Erdogan bukan sahaja telah membawa Turki menyertai Rusia dan Iran dalam usaha menaja perjanjian damai Syria yang terkini menyaksikan empat zon selamat diisytiharkan, tetapi juga membincangkan isu kerjasama Turki-Rusia untuk Loji Nuklear Akkuyu serta paip minyak Turki.

Hal yang lebih menarik ialah perbincangan tentang persetujuan Turki untuk membeli aset ketenteraan sistem pertahanan udara S-400 Triumf Rusia di mana pada waktu ini Turki tidak memiliki sistem anti-pesawat udara jarak jauh.

S-400 ini bahkan berupaya memusnahkan pesawat pejuang Generasi Kelima seperti F-22 Raptor yang dimiliki AS.

Walau bagaimanapun, Erdogan tidak terlalu terikut-ikut dengan rentak Moscow dan masih mengekalkan keanggotaan Turki dalam NATO. Menjelang pertemuan dengan Trump yang turut dijadualkan pada Mei 2017, Erdogan mengekalkan sebahagian strategi beliau dengan menyokong serangan Tomahawk AS ke atas pengkalan tentera udara Syria baru-baru ini di samping kritis terhadap Bashar al-Assad.

Pilihan raya Presiden Perancis dan pemilihan Canselor Jerman yang bakal berlangsung turut menambah pelbagai kemungkinan senario geostrategi yang perlu dihadapi Erdogan kelak. Apa yang pasti, Erdogan jelas telah belajar dari kesilapan para Jeneral Uthmaniyyah sewaktu Perang Dunia Pertama.

Laungan “Osmanli Torunu!” (Pewaris Uthmaniyyah) terus bergempita di Turki.

*Abdul Muein Abadi, Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

'Politik matang' Abdul Hadi ahli Pas Kelantan protes akan keluar parti

DALIA ISMAIL
Pendekatan politik matang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Umno mengundang reaksi tidak puashati dikalangan ahli Pas yang akan bertindak keluar parti.

Sudah tersebar sekeping foto menunjukkan sebuah batu tanda Pas berlambangkan logo parti sudah ditukar kepada logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kejadian itu berlaku di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Pasir di bawah Parlimen Pasir Mas Kelantan.

Foto yang menjadi viral itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Kamaruddin Md Nor kepada Malaysia Dateline.

" Ya foto itu di Dun Pengkalan Pasir. Protes ahli-ahli Pas terhadap pendekatan 'politik matang.

"Yang menariknya ialah mereka pilih PPBM tidak Amanah," ujarnya melalui whatapps.

Kamaruddin yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Kelantan juga tidak menafikan akan ada lagi protes di kalangan ahli Pas di negeri itu terhadap tindakan Presiden Pas berbaik-baik dengan Umno yang dahulu pernah menjadi musuh ketat parti itu, katanya lagi," ura-ura itu ada kedengaran," ujarnya yang mengatakan kejadian menukar logo batu tanda itu berlaku minggu lalu dan dilakukan bekas ahli Pas.

Pada 4 Mei lalu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir dalam program tukun tiruan di perairan laut Pulau Kapas, Marang bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Abdul Hadi dalam kenyataannya dipetik berkata Kerjasama hari ini (Pas dan Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat.

Manakala Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa pula dipetik berkata,kemunculan Abdul Hadi dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan dan Petronas itu dilihat sebagai pendekatan untuk menguji persepsi politik pengundi Melayu.

Ini kerana semua adalah percubaan untuk mukadimah hubungan politik antara Pas dan Umno. Mereka mahu melihat minda siasah orang Melayu sama ada kerjasama itu diterima atau tidak.

Pada asasnya, kerjasama politik atas apa nama sekalipun sama ada atas nama Melayu, Islam dan demi kepentingan negara itu tidak menjadi satu kesalahan.

Namun ujar Husam, kerjasama politik itu tidak lebih hanya menambahkan kerosakan sedia ada akibat kepimpinan negara pada masa ini yang korup sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam, kenegaraan dan demokrasi.