Harapandaily
Nama bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Abdul Jalil dilihat mula diangkat penyokong akar umbi Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Perkara itu tercetus selepas tular dua poster di media sosial yang memaparkan Isham sebagai calon berpotensi Pas bagi kerusi Putrajaya dan Shah Alam.
Mengulas perkara itu, Isham mengakui dia terharu dengan sokongan yang diberikan akar umbi dan beberapa pemimpin Pas yang mencadangkan namanya dalam sesi ceramah serta di media sosial.
“Saya amat terharu dan ingin ucap terima kasih kepada akar umbi dan pemimpin-pemimpin Pas yang telah mengusulkan supaya saya bertanding di Parlimen Shah Alam atau Parlimen Putrajaya.
“Terima kasih ke atas kepercayaan dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, Isham pernah menyarankan agar parti-parti politik Melayu memberikan laluan kepada Pas untuk menerajui jawatan Perdana Menteri jika mahu mencapai agenda penyatuan ummah.
Kata Isham, Pas yang belum pernah memegang jawatan nombor satu negara itu wajar diberikan peluang berdasarkan rekod bersih parti terbesar di Malaysia ketika ini daripada isu rasuah.
Istiqamah membantu
Mengulas lanjut mengenai penyebaran poster itu, katanya, dia mengakui tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan pencalonannya di bawah tiket Pas dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada kepimpinan parti berkenaan.
Menurut Isham, apa juga keputusan yang dibuat, beliau akan terus istiqamah membantu perjuangan Pas demi melihat parti itu menerajui negara.
Bekas Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri itu turut mengulangi keyakinan bahawa Pas merupakan parti paling bersih daripada rasuah di negara ini dan perlu diberi peluang memimpin kerajaan Persekutuan.
“Saya akan terus usahakan sehingga Pas menerajui negara ini sebagai kerajaan dan Perdana Menteri untuk kita menyatukan ummah dan menghapuskan rasuah secara sebenar-benarnya.
“Pas adalah parti yang paling bersih dari rasuah di negara ini. Oleh sebab itu, tuan-tuan dan puan-puan perlu menerajui negara ini dan saya akan bantu tuan-tuan dan puan-puan ke arah itu,” katanya lagi.
Isham, 50, atau nama sebenarnya Hizatul Isham bin Abdul Jalil menambah jika orang-orang baik tidak menguasai politik, orang-orang jahat yang akan berkuasa.
Untuk rekod, Isham dipecat daripada Umno pada Disember 2023 selepas konflik terbuka dengan kepimpinan parti, khususnya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kali pertama bertanding di P108 Shah Alam dalam pertandingan empat penjuru yang dimenangi Azli Yusof (PH-AMANAH) dengan mendapat 61,409 undi, Isham ketika itu mewakili BN kecundang apabila hanya mengaut 28,266 undi.
Jumlah undi diterima Isham itu lebih rendah berbanding Afif Bahardin (PN-Bersatu) 43,314 undi manakala Rafique Rashid (Pejuang) cuma memperoleh 2,781 undi.