BERNAMA
Singapura: Seorang sukarelawan gereja berusia 26 tahun ditahan selepas satu objek mencurigakan ditemukan di dalam kawasan Gereja St Joseph di Bukit Timah, Singapura pada pagi Ahad.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan lelaki itu ditahan di bawah Peraturan 8(2)(a) Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Langkah-langkah Antikeganasan) kerana disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.
Polis menerima panggilan untuk bantuan kira-kira 7.10 pagi berhubung penemuan objek mencurigakan di gereja yang terletak di 620 Upper Bukit Timah Road.
Sebaik tiba di lokasi, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa beliau menemukan objek mencurigakan di dalam longkang dalam kawasan gereja.
Lelaki itu kekal berada di tempat kejadian sambil memegang objek berkenaan.
Polis mengawal kawasan kejadian manakala premis gereja dikosongkan demi keselamatan awam.
Kumpulan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) turut diaktifkan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
"Selepas pemeriksaan menyeluruh, objek berkenaan yang menyerupai peranti bahan letupan buatan sendiri, dinilai pada kira-kira 10.40 pagi sebagai terdiri daripada tiga gulungan kadbod dan wayar yang dilekatkan dengan pita hitam, tanpa sebarang unsur letupan.
"Objek itu kemudiannya dikeluarkan dari lokasi oleh pihak polis," menurut SPF.
Operasi polis selesai dijalankan dan sekatan di lokasi itu ditarik balik kira-kira 5.15 petang.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, berkata polis bersama SAF telah mengesahkan bahawa objek mencurigakan berkenaan bukan bom.
"Seseorang cuba mewujudkan tanggapan ia adalah peranti letupan. Siasatan polis masih dijalankan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada November tahun lalu, paderi Gereja St Joseph, Father Christopher Lee, ditikam di bahagian mulut oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau semasa upacara misa di gereja berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan