"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Kerajaan bertanggungjawab jika harga barang naik

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menerangkan dengan jujur bagaimanakah subsidi minyak naik melebihi 30 sen ketika harga minyak dunia dilaporkan berada dalam keadaan stabil, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Pada hari yang sama harga petrol dinaikkan di negara ini, Commodity Online melaporkan harga minyak lebih seimbang dan tidak mengalami turun naik atau volatiliti," kata beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kerajaan Najib adalah pihak yang bertanggungjawab jika peniaga menaikkan harga barangan keperluan menjelang musim perayaan ini dengan memberikan alasan harga minyak naik.

"Trend yang berlaku sebelum ini ialah harga barangan keperluan terus naik melambung selepas kerajaan menaikkan harga minyak.

"Jika harga barang keperluan dinaikkan dan para peniaga pula memberikan alasan kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barang keperluan, kerajaan Najib mesti bertanggungjawab," tegas beliau.

Salahuddin juga menuntut Najib menyatakan dengan telus asas perkiraan yang dijadikan alasan oleh kerajaan untuk menaikkan harga petrol.

"Kerajaan hendaklah membentangkan formula perkiraan subsidi serta akaun tahunan Petronas supaya rakyat boleh menilai sendiri rasional tindakan kerajaan menaikkan harga minyak," katanya.

Jika kerajaan menghargai taraf pemikiran rakyat yang tidak lagi mudah diperbodohkan, katanya, kerajaan hendaklah membentangkan kesemua itu secara telus.

"Rakyat bukan bodoh dan menelan begitu sahaja cakap-cakap Perdana Menteri," tegas beliau.

Salahuddin juga menuntut Najib menerangkan kepada rakyat ke mana perginya pulangan Petronas kepada kerajaan dari tahun 2004 hingga 2009.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, pulangan Petronas kepada kerajaan dalam tempoh itu berjumlah sebesar RM253.6 bilion.

"Ke mana perginya wang itu?" tanya beliau.

Rabu lalu, Perdana Menteri mendakwa, harga petrol dinaikkan kerana subsidi bahan itu telah melebihi kadar 30 sen yang sanggup diberikan oleh kerajaan.

"Janji kami kepada rakyat ialah subsidi 30 sen tetapi subsidi itu pada masa ini lebih daripada 30 sen. Jadi perlu ada sedikit penyesuaian... penyesuaian yang sedikit saja," dakwa Perdana Menteri.

Beliau diminta mengulas kenaikan harga di pam bagi petrol RON95 daripada RM1.75 kepada RM1.80 seliter manakala RON97 pula dijual pada RM2.05 berbanding RM1.80 berkuat kuasa 1 September lalu.

Memandangkan beliau gagal menjawab soalan mengenai perkara itu ketika ditanya, Najib berkata, beliau akan memberikan butiran lanjut kemudian.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud berharap kerajaan akan mengambil kira beban kenaikan harga petrol terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

"Umum mengetahui bahawa pendapatan dan gaji mereka tidak naik malah merosot akibat daripada keadaan ekonomi yang tidak menentu sejak beberapa bulan lepas, dan mereka tidak diberi kerja lebih masa dan ada juga yang gajinya dipotong serta elaun dikurangkan," katanya dalam kenyataan mengenai perkara itu.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Saparudin Yusup pula berkata kenaikan harga itu akan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat yang akan menerima kesan langsung akibat kenaikan itu.

Tiada ulasan: